PAS: Filem barat berunsur seks galak anak luar nikah

khairuddin-aman_finas_600

KUALA LUMPUR: Seorang wakil rakyat PAS hari ini mempersoalkan peranan Perbadanan Filem Kemajuan Nasional Malaysia (Finas) dalam menapis filem barat berunsur seks melampau.

Datuk Khairuddin Aman Razali (PAS-Kuala Nerus) turut berkata rating “18SX” seolah-olah membenarkan unsur seks cuma walaupun bukan bersifat keterlaluan.

“Maknanya unsur seks itu juga dibenarkan juga cuma tidak keterlaluan,” kata Khairuddin ketika membahaskan Bajet 2018 untuk Kementerian Komunikasi dan Multimedia di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau mengaitkan filem berunsur seks kepada kelahiran anak luar nikah.

“Saya bimbang fenomena yang berlaku hari ini dengan lahirnya begitu ramai anak-anak luar nikah, anak tak sah taraf dan sebagainya hasil daripada filem barat yang sebenarnya menampilkan gaya hidup bebas.”

Menurutnya, filem barat seperti itu menggambarkan seolah-olah “adegan atas ranjang itu adalah perkara biasa, mempunyai anak luar nikah itu perkara biasa, duduk bersedudukan itu perkara biasa”.

“Ini menjadi satu fenomena yang tanpa sedar akan membentuk minda dan cara berfikir rakyat kita sendiri,” kata ketua penerangan Dewan Ulama PAS itu.

Khairuddin menuntut Finas memberi penjelasan mengenai garis panduan penapisan yang dipakai ketika ini.

Timbalan Menteri Komunikasi Dan Multimedia, Datuk Seri Jailani Johari berkata terdapat kekeliruan mengenai peranan Finas.

“Pihak Finas bukan agensi yang membuat penapisan. Penapisan filem di bawah bidang kuasa Lembaga Penapisan Filem di bawah Kementerian Dalam Negeri yang mana tertakluk Akta penapisan filem (Akta 620) dan garis panduan penapisan filem,” katanya.