Batal projek BRT kerana tindih LRT 3, kata menteri

Nancy-ShukriKUALA LUMPUR: Kerajaan membatalkan projek Bas Rapid Transit (BRT) Kuala Lumpur-Klang awal bulan ini kerana ia bertindih dengan cadangan projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT 3).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, cadangan projek LRT 3 akan menghubungkan Bandar Utama dan Johan Setia di Klang melalui Shah Alam.

“Dalam hal ini ingin ditegaskan ini tidak bermakna cadangan BRT Kuala Lumpur-Klang tidak memberi manfaat. Akan tetapi, penelitian yang kita jalankan mendapati projek LRT 3 akan memberi impak lebih besar daripada cadangan BRT tersebut,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Ong Kian Ming (DAP-Serdang) yang bertanya mengapa projek BRT Kuala Lumpur-Klang dibatalkan walaupun anggaran kosnya hanya RM1 bilion hingga RM2 bilion yang lebih mampu ditanggung kerajaan.

Pada 24 Ogos lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melancarkan projek LRT 3 yang merupakan rel bandar di koridor barat Lembah Klang.

Projek sejauh 37km itu akan memudahkan penduduk di Klang, Shah Alam dan Petaling Jaya.

Mengulas lanjut, Nancy berkata, BRT Kuala Lumpur-Klang dan LRT 3 tidak sesuai dan tidak fleksibel dibangunkan serentak pada masa ini.

“Dalam menimbang pilihan terbaik, kerajaan mengambil keputusan untuk membangunkan projek LRT 3 berbanding projek BRT Kuala Lumpur-Klang,” katanya.