Pembantu menteri Sabah saman pemimpin Warisan RM10 juta

ramlee-marhaban-parti-warisanKOTA KINABALU: Pembantu Menteri Kepada Menteri Kewangan Sabah Datuk Ramlee Marhaban mahu menyaman 2 pemimpin Parti Warisan Sabah kerana mengangin-anginkan beliau seorang korup dalam laporan berita dan catatan media sosial awal bulan ini.

Dalam tuntutan yang difailkan melalui Messrs Nurul Rafeeqa Marcel Advocates di Mahkamah Tinggi hari ini, Ramlee, yang juga Adun Bugaya, berkata Naib Presiden Warisan Junz Wong dan Ketua Pemuda Mohd Azis Jamman membuat kenyataan itu dalam laporan berita yang diterbitkan The Borneo Post 14 November lalu.

Menurut writ saman itu, kandungan dan perkataan dalam artikel itu merujuk atau bermaksud untuk merujuk kepada Ramlee.

Tambahan pula, dakwaan sama dimuat naik ke Facebook, WhatsApp dan media sosial lain sama ada oleh Wong dan Azis atau individu lain, katanya.

Tuntutan itu juga menyatakan defendan atau individu berkaitan menggunakan dron secara salah untuk menceroboh hartanah persendirian Ramlee untuk mengambil gambar dan video rumahnya, tindakan yang mencabul privasi beliau.

Ramlee berkata, susulan laporan berita itu, pemimpin Warisan menuduh beliau korup. Ramlee menambah mereka turut mengatakan beliau menyalahgunakan kedudukan di Kementerian Kewangan Sabah untuk mengumpul kekayaan, menikmati kehidupan mewah sehingga menjejaskan rakyat kawasannya, tidak menghormati undang-undang, tidak layak menjadi seorang Adun atau ahli jemaah menteri dan semua kereta dalam rumah itu milik beliau.

Akibat tuduhan itu, Ramlee mendakwa nama baik beliau sudah terjejas dan dimarahi orang ramai.

Beliau menuduh Wong dan Azis menyiarkan kenyataan mereka tanpa mendapatkan komen atau pandangannya, dan oleh itu bertindak secara semberono.

Ramlee berkata kata-kata Wong dan Azis adalah tidak benar, tidak berasas dan disiarkan dengan niat jahat.

Ramlee menuntut ganti rugi, termasuk ganti rugi teladan, injunksi menghalang mereka membuat kenyataan fitnah terhadapnya, injunksi terhadap defendan daripada memasuki hartanahnya, ganti rugi pampasan RM10 juta kerana libel, kos statutori dan pampasan lain yang dirasakan wajar oleh mahkamah.

Saman itu, yang difailkan melalui e-filing, ditetapkan untuk pendengaran pada 3 Januari tahun depan.