Salleh gesa wanita guna media baharu, teknologi digital perkasa diri

Salleh Said Keruak berucap di depan lebih 100 peserta dalam program Women Power Talk 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra.
Salleh Said Keruak berucap di depan lebih 100 peserta dalam program Women Power Talk 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra.

KUALA LUMPUR: Menteri komunikasi dan multimedia menggesa usahawan wanita memanfaatkan media baharu dan menguasai teknologi digital untuk memajukan perniagaan serta memperkasakan diri.

Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, dunia perniagaan berubah sejajar kemajuan teknologi digital, di mana orang ramai kini boleh membeli-belah di mana sahaja dengan hanya satu klik.

“Perniagaan menggunakan kemudahan teknologi digital mula berkembang pesat semenjak beberapa tahun ini.

“Saya lihat sudah ada peningkatan jenama tempatan, terutama dalam sektor perniagaan berasaskan fesyen yang memanfaatkan perkembangan teknologi digital kini,” katanya ketika berucap pada program Women Power Talk 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

“Saya menggalakkan usahawan wanita segera mengambil peluang dalam menguasai teknologi digital untuk memajukan perniagaan. Dengan menguasai e-dagang, usahawan wanita tidak lagi ketinggalan, malahan mampu bersaing secara sihat dengan pemain industri lain.”

Beliau berkata, wanita perlu memahami kekuatan pelbagai jenis media yang mampu menyampaikan mesej dan mempromosikan perniagaan atau jenama mereka kepada orang ramai.

“Gunalah media seperti media sosial dengan berkesan dan jangan hanya bergantung kepada saluran media tradisional.”

Salleh turut menyarankan wanita menyertai bidang politik kerana ia akan membuka ruang untuk mereka turut serta dalam proses pembangunan negara.

Katanya, wanita perlu lebih berani menonjolkan keupayaan mereka selain meningkatkan status profesionalisme dalam kepimpinan negara.

“Ini semua bagi merapatkan jurang skor pencapaian dan kesaksamaan dengan lelaki dalam penguatkuasaan politik, sekaligus menyamakan wanita seperti di Australia dan Amerika Syarikat.

“Di negara kita sendiri, walaupun ada 222 ahli Parlimen, hanya 24 wanita yang menjadi ahli Parlimen dan perkara ini perlu dipertingkatkan,” katanya.

Pada majlis sama, Salleh melancarkan Portal Profesional Pergerakan Wanita Umno.

Hadir sama Ketua Wanita Umno, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang juga Pengerusi Biro Wanita Profesional, Datuk Azizah Mohd Dun dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Halim Shafie.