Seorang lagi ditahan selepas RM13.5 juta ditemui di rumah maksiat

sabah-immigration-3

KOTA KINABALU: Seorang lagi suspek ditahan hari ini berkaitan dengan rampasan wang tunai RM13.5 juta oleh imigresen baru-baru ini.

Tangkapan seorang wanita 46 tahun, yang merupakan isteri kepada suspek utama yang ditahan sebelum ini dalam siasatan ke atas kes itu, menjadikan sejumlah 21 orang ditahan setakat ini, termasuk 3 lelaki dan 17 warga Filipina, dipercayai mangsa pemerdagangan manusia.

Imigresen bertindak atas maklumat orang ramai lalu menyerbu sebuah spa hotel Jumaat lepas yang pada mulanya dipercayai kes maksiat dan pemerdagangan manusia.

Namun penguatkuasa terkejut apabila menemui sejumlah besar wang tersimpan di situ dan di pangsapuri berdekatan. Sumber wang itu masih membingungkan penyiasat.

Wanita yang ditahan hari ini merupakan pemilik pangsapuri di mana wang itu ditemui.

sabah-immigration-2

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata pihaknya akan bekerjasama dengan agensi lain untuk menyiasat kes itu.

“Berdasarkan siasatan awal, kami fikir wang itu adalah kaitan dengan pelacuran dan pemerdagangan manusia, tetapi kita akan terus menyiasat,” katanya kepada pemberita hari ini.

“Spa hotel itu yang kami serbu itu beroperasi sejak 1999. Sebahagian duit itu sudah berkulat, dalam pakej yang ditandai dengan ‘2008’.

“Premis itu diubahsuai tanpa permit dan laluan kecemasan digunakan sebagai tempat istirahat.”

Berdasarkan kepada keterangan 17 warga Filipina yang ditahan di premis itu, beliau berkata jabatan tidak menolak kemungkinan ada kegiatan maksiat dijalankan di situ.

“Tiga lelaki, termasuk seorang warga Filipina, yang ditahan disyaki dalang aktiviti tidak bermoral di situ,” tambahnya.

Selain Akta Imigresen, Mustafar berkata kes itu sedang disiasat bawah Kanun Keseksaan dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Ditanya sama ada wang itu ada kaitan dengan mana-mana ahli politik atau kumpulan politik, Mustafar enggan mengulas.

Rampasan wang tunai itu merupakan yang terbesar dalam sejarah imigresen.