‘Amah Kemboja akan dapat telefon pintar, akaun bank’

cambodia-maid-1

KUALA LUMPUR: Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (Papa) menyasarkan untuk membawa masuk kira-kira 20,000 pembantu rumah Kemboja setahun, mulai tahun depan.

Presidennya, Jeffrey Foo berkata, sasaran itu dapat dicapai dengan melaksanakan dasar dan mekanisme untuk melindungi kebajikan pekerja domestik Kemboja melalui kerjasama Kementerian Latihan Tenaga Kerja dan Vokasional Kemboja (MOLVT).

Foo berkata, dasar dan mekanisme itu dijangka dilaksanakan dan dimuktamadkan Mac tahun depan.

“Kita menjangkakan membawa masuk kira-kira 20,000 pekerja domestik Kemboja kerana terdapat kekurangan yang ketara di Malaysia. Walaupun ada beberapa isu yang belum diselesaikan, kita akan berusaha untuk mengurus dan memperbaiki industri pekerja domestik asing di Malaysia.

“Kita membincangkan perkara ini sekian lama dengan MOLTV dan mengemukakan prosedur dan cadangan tertentu untuk membolehkan kita bekerjasama bagi melatih dan memantau (pekerja Kemboja di Malaysia).
“Kita mahu memastikan mereka dihormati dan mendapat perlindungan daripada semua pihak berkepentingan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu, Foo bagi pihak Papa menandatangani memorandum perjanjian (MOA) dengan MOLVT yang diwakili Ketua Pengarahnya, Seng Sakda untuk memberi kebenaran kepada Papa menguruskan kebajikan dan perlindungan kepada rakyat Kemboja untuk bekerja di negara ini.

Turut menyaksikan majlis pemeteraian perjanjian itu ialah Menteri Tenaga Kerja Kemboja, Ith Sam Heng.

Antara inisiatif yang akan diambil Papa ialah setiap pekerja domestik Kemboja dibekalkan telefon pintar mengandungi aplikasi keselamatan oleh agensi pekerjaan swasta, membuka akaun bank pekerja, laporan pemantauan bulanan mengenai pembayaran gaji oleh majikan dan memberi nasihat guaman.

“Ini untuk memastikan kebajikan dan keselamatan pekerja dijaga dan mereka diberi layanan adil semasa bekerja di negara ini. Majikan mesti mematuhi undang-undang Malaysia serta undang-undang kerajaan asing demi kebaikan kedua-dua negara.”