Zunar gagal cabar sekatan ke luar negara

Zunar_law_travelKUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan kartunis kontroversi, Zunar bagi mencabar sekatan perjalanan ke luar negara yang dilaksanakan Jabatan Imigresen atas alasan ia terikat kepada penghakiman Mahkamah Rayuan baru-baru ini.

Hakim Azizah Nawawi berkata, beliau terikat kepada kes Tony Pua yang juga gagal mencabar keputusan ketua pengarah Jabatan Imigresen itu.

Pada 7 Julai lalu, Hakim Mahkamah Rayuan, Tan Sri Idrus Harun ketika mengekalkan penghakiman Mahkamah Tinggi berkata, walaupun hak untuk hidup dan kebebasan peribadi dijamin Perlembagaan, sebarang pelucutan hak itu dibenarkan jika ia dibuat mengikut undang-undang.

Beliau dilaporkan berkata, Seksyen 59 Akta Imigresen ialah undang-undang yang digubal Parlimen dan ia jelas mengecualikan hak untuk didengar di depan menteri dalam negeri, ketua pengarah atau pihak berkuasa negeri dalam kes Sabah dan Sarawak.

Pada 6 November lalu, panel 3 hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif sebulat suara menolak permohonan kebenaran untuk merayu dikemukakan Pua dengan alasan isu perundangan itu sudah diputuskan Mahkamah Persekutuan dalam kes Loh Wai Kong.

Dalam kes 1979 itu, Presiden ketika itu, Tun Mohamed Suffian Mohamed Hashim memutuskan hak kebebasan peribadi di bawah Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan hanya untuk mencabar pihak berkuasa atas sebarang penahanan salah.

Azizah turut menolak permohonan alternatif Zunar untuk merujuk kes itu terus ke Mahkamah Persekutuan mengikut Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman.

Katanya, tiada keraguan dalam menafsir Perkara 5(1), 8 dan 9 kerana peruntukan itu diputuskan dalam kes Pua dan Loh.

Azizah berkata, peguam Zunar membangkitkan kesahihan kes Loh mengikut Perkara 121.

“Saya dengan ini berpendapat Perkara 121 bukan satu isu dalam permohonan substantif, sebaliknya ia dibangkitkan untuk mempersoalkan kesahihan kes Loh.”

Katanya, isu perlembagaan tidak timbul dalam permohonan substantif.

Peguam Zunar, Gopal Sri Ram berhujah keputusan kes Loh tidak sah kerana mahkamah tertinggi tiada bidang kuasa untuk membuat keputusan ke atas pemerhatian dibuat Mahkamah Tinggi.

Beliau berkata, di bawah Perkara 121 dan 128, mahkamah tertinggi hanya mempunyai bidang kuasa untuk mendengar rayuan daripada mahkamah lebih rendah.

Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Tan Sri Gunn Chit Tuan menolak permohonan Loh atas alasan kerajaan bertanggungjawab terhadap kelewatan mengeluarkan dokumen perjalanannya.

Bagaimanapun, kerajaan merayu terhadap pemerhatian dibuat Gun yang hak untuk keluar negara ialah hak asas di bawah Perkara 5.

Mahkamah Persekutuan bagaimanapun memutuskan sebaliknya.

Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee SM Anwar Ulhaque memfailkan permohonan bagi membatalkan arahan sekatan itu, pada 17 Disember 2016.

Beliau turut memohon beberapa pengisytiharan, termasuk larangan itu melanggar hak perlembagaannya.

Zunar dilarang menghadiri sebuah forum di Singapura pada 17 Oktober 2016.

Beliau turut berdepan 9 pertuduhan menghasut atas dakwaan menghina badan kehakiman berhubung keputusan rayuan kes liwat Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Zunar berkata, beliau sudah mengarahkan peguamnya merayu terhadap keputusan itu.

“Saya tidak terkejut kerana saya sudah menjangkakan keputusannya,” katanya sambil menambah beliau masih dalam senarai sekatan ke luar negara seperti Pua dan Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah.

 

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/07/07/kp-imigresen-ikut-akta-sekat-tony-pua-ke-luar-negara/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/07/27/tony-pua-gagal-batal-sekatan-perjalanan-imigresen/