Budaya asing tak ancam budaya Melayu, kata belia

malaysia-1PETALING JAYA: Belia Islam berpendapat ia hanya membuang masa untuk melakukan tinjauan rambang bagi mengetahui pendapat golongan itu mengenai Arabisasi dan budaya barat menghakis budaya Melayu.

FMT menemu bual beberapa belia Islam untuk mendapatkan komen mereka berhubung beberapa laporan yang bermula dengan satu wawancara Asia Times dengan pengasas Sisters in Islam, Datin Paduka Marina Mahathir.

“Ada idea mengatakan anda ialah umat Islam lebih baik jika anda lebih Arab. Itu penghapusan warisan budaya kita yang sangat nyata,” kata Marina.

“Budaya Arab sedang tersebar dan saya menyalahkan sepenuhnya ke atas Arab Saudi,” kata aktivis sosial yang juga anak sulung bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu kepada Asia Times.

Pegawai khas di Pejabat Penasihat Perdana Menteri, Datuk Fathul Bari Mat Jahaya dalam reaksinya mempersoalkan Marina membidas penyebaran budaya Arab di negara ini, tetapi membisu terhadap kemasukan budaya barat yang menyebabkan budaya tempatan terhakis.

Marina membalas di Twitternya dengan berkata: “Sebenarnya saya salah kritik budaya Arab. Bukankah Saudi yang ikut budaya Amerika dalam mengebom rakyat di negara lain tanpa belas kasihan? #YamanKebuluran.”

Belia yang ditemu bual FMT nampaknya percaya Arabisasi mahupun pembaratan tidak patut dilabel sebagai perkara buruk dan budaya Melayu tidak terancam oleh kedua-duanya.

Sakinah Abdul Malik yang baru menamatkan pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, adalah salah untuk mengatakan budaya Arab “sedang tersebar luas” seolah-olah ianya satu fenomena baharu.

“Bahasa Melayu sendiri pun banyak meminjam daripada bahasa lain,” katanya sambil menambah wanita tempatan lebih gemar memilih jubah kerana mudah dipakai.

“Kamu tidak dapat berlari apabila berbaju kurung dan tidak dapat menekan gear seperti lelaki yang memakai seluar.

“Kami akan pilih apa yang mudah, guna perkataan lebih singkat seperti ‘iftar’ daripada menggunakan perkataan lebih panjang seperti ‘buka puasa’. Kami akan makan di luar dan pilih untuk mengenakan pakaian yang hanya perlu disarungkan sekali sahaja.”

Sakinah berkata, orang Melayu yang kelihatan lebih Arab mungkin sekadar menunjukkan toleransi mereka.

“Jika orang Arab datang ke sini, kita perlu memenuhi keperluan mereka dari segi makanan, pemakaian dan lain-lain. Tidak dapat dielakkan sedikit sebanyak kita menyepadukan budaya mereka dengan budaya kita.

“Itulah kita sebagai orang Melayu. Kita memberi layanan baik dan bertoleransi. Kita tidak keras kepala seperti orang Arab dan kata ‘pakai baju kurung atau keluar dari negara ini’.”

Syazna Hashim yang berusia 20-an berkata, menerapkan kebaikan dalam budaya lain ialah satu kemestian untuk menjadi seorang umat Islam baik.

“Untuk menjadi seorang umat Islam yang baik, dalam apa jua budaya yang kita didedahkan, kita harus mengambil apa yang baik dan tinggalkan apa yang tidak baik.

“Seperti budaya Barat yang mengamalkan sikap proaktif, tidak salah untuk kita mengambil contoh sikap itu sebagai orang Islam.

“Masalah hanya timbul apabila kita mengikuti sebarang amalan yang mempromosikan nilai tidak baik, seperti pergaulan bebas dalam budaya Barat dan sikap agresif dan terlalu berterus-terang dalam budaya Arab.

“Tetapi ianya juga dalam budaya Arab untuk berkumpul ramai-ramai dan berkongsi. Adakah itu tidak baik? Islam mengajar kita untuk sentiasa ambil berat tentang satu sama lain. Jadi jika ia menjadikan kita seorang Islam yang lebih baik, tiada masalah dengan itu.”

Beliau tidak nampak sebarang sebab untuk bimbang dengan hakisan budaya Melayu, sebaliknya mereka yang prihatin itu perlu berusaha mempromosikan nilai Melayu di rumah, sekolah, tempat kerja dan media.

Mohd Farid Abdul Ghafar, 30, tidak faham “apa masalah” dengan kemasukan budaya lain atau mereka sekadar bimbang kehilangan warisan budaya sendiri.

“Saya dengar muzik genre ‘blues’ yang merupakan muzik genre tradisional Amerika dengan asal-usul Afrika.

‘Saya memakai baju T dan seluar jeans serta dan tonton filem Hollywood. Saya baca al-Quran dan sembahyang dalam bahasa Arab, tetapi saya masih menunggang motosikal kapcai untuk ke kerja dan berbahasa Melayu dengan ibu bapa saya.

“Saya tidak rasa nilai Melayu saya berkurangan hanya kerana saya suka dan mengamalkan tabiat budaya asing. Jadi, saya tidak faham apa masalahnya?”

Nurul Iman Ezrin yang berusia 24 tahun juga berkata, tidak salah mengamalkan unsur baik dalam budaya Arab mahupun Barat.

Katanya, mempelajari dan mengamalkan perkara baik daripada budaya lain akan menjadikan seseorang itu manusia lebih baik.

“Tidak salah belajar daripada budaya lain. Hanya kerana ia datang dari Barat, tidak semestinya ia tidak baik. Dan hanya kerana ia dari Timur, tidak semestinya ia perkara baik.

“Yang penting untuk orang Islam adalah kita berpegang kuat pada kepercayaan kita.”

Marina: Saudi punca Arabisasi di Malaysia, budaya tempatan hilang

Saya silap kritik Saudi, sindir Marina

‘Kenapa Marina bidas budaya Arab, membisu budaya barat’