‘Malaysia tak pernah gagal bayar hutang, kedaulatan terjamin’

mustapa-malaysia

KUALA LUMPUR: Malaysia mempunyai ekonomi kukuh untuk membayar semua hutang negara luar dan bukan calang-calang negara yang boleh dikompromi kedaulatannya, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

“Malaysia negara hebat yang kadar pertumbuhannya tinggi, berjaya menguruskan ekonomi dengan baik dan mempunyai rekod cemerlang kerana tidak pernah gagal membayar hutangnya.

“Ya, kita ada hutang (dengan negara luar) tetapi kita (mampu untuk) bayar. Maka tidak boleh membandingkan Malaysia dengan negara lain yang sudah kompromi kedaulatan mereka apabila terlalu banyak (kemasukan) pelaburan asing,” tegas beliau.

Mustapa berkata demikian pada forum “Pelaburan Asing dan Kedaulatan Negara” sempena Persidangan Kepimpinan Mahasiswa Nasional (Pemanas) hari ini.

Beliau mengulas isu berhubung lambakan pelaburan China ke negara lain, termasuk Malaysia sambil menjelaskan ada negara seperti Sudan, Sri Lanka dan Kemboja menghadapi masalah membayar semula hutang kepada negara ekonomi ke-2 terbesar dunia itu.

Pada 2016, Singapura merupakan pelabur asing terbesar di Malaysia dengan jumlah RM115.7 bilion, diikuti Jepun (RM70 bilion), Hong Kong (RM47.4 bilion), Belanda (RM41.5 bilion), Amerika Syarikat (RM36.8 bilion), Switzerland (RM27 bilion), Jerman (RM23.5 bilion), Virgin Island (RM21 bilion), United Kingdom (RM20.2 bilion) dan China (RM15.5 bilion).

Mustapa berkata, pelaburan asing memainkan peranan besar dan mendatangkan banyak faedah kepada kemajuan Malaysia, terutama kepada negeri seperti Pulau Pinang, Selangor, Johor, Sarawak dan Melaka.

Beliau berkata, tuduhan liar pembangkang yang mendakwa lambakan pelaburan dari China boleh menggugat kedaulatan negara tidak sepatutnya timbul kerana China bukan pelabur asing terbesar di Malaysia.

Katanya, pelaburan di luar negara merupakan satu kelaziman era globalisasi, ini termasuk pelaburan dibuat syarikat Malaysia seperti Petronas, Khazanah Nasional, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Maybank dan CIMB.

“Kalau (pembangkang) kata Malaysia sedang dijajah China, bagaimana pula pelabur Malaysia yang mempunyai ladang kelapa sawit di Indonesia serta bank Malaysia (yang beroperasi) di Indonesia.

“Malahan, Malaysia juga merupakan pelabur asing terbesar di Papua New Guinea. Adakah ini bermakna kita sedang menjajah mereka?” soalnya.