
Menurut aplikasi infobanjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kesemua mangsa daripada 5,318 keluarga itu ditempatkan di 61 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di 6 jajahan membabitkan Kota Bharu, Pasir Mas, Tumpat, Tanah Merah, Pasir Puteh dan Gua Musang.
Pasir Mas masih mencatat jumlah tertinggi dengan 9,622 mangsa daripada 4,102 keluarga masih ditempatkan di 39 PPS, diikuti Tumpat dengan 2,447 mangsa daripada 855 keluarga yang dipindahkan ke 6 PPS.
Di Pasir Puteh, 828 mangsa daripada 247 keluarga ditempatkan di 8 PPS, 200 mangsa daripada 61 keluarga dipindahkan ke 3 PPS di Kota Bharu, 109 mangsa daripada 31 keluarga di 3 PPS di Tanah Merah dan 94 mangsa daripada 22 keluarga di 2 PPS di Gua Musang.
Menurut portal infobanjir.water.gov.my Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), paras air Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas dilaporkan menurun kepada 10.26m pada 12.00 tengah hari ini berbanding 10.29m pada 8.00 pagi tadi. Paras bahaya adalah 9m.
Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat pula menurun kepada 3.7m berbanding 3.71 meter dalam tempoh sama. Paras bahaya adalah 2.5 meter.
Sementara itu, portal eBanjir Kelantan, ebanjir.kelantan.gov.my melaporkan tiada jalan utama ditutup kepada kenderaan setakat tengah hari ini manakala hujan kadangkala lebat dilaporkan berlaku di beberapa tempat.