Mahkamah Agung benarkan Trump sekat rakyat 6 negara Islam ke AS
Donald Trump berkata, sekatan perjalanan itu perlu bagi melindungi AS daripada keganasan militan Islam.
WASHINGTON: Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) pada Isnin membenarkan Presiden, Donald Trump melaksanakan sepenuhnya sekatan kemasukan ke atas rakyat dan pelarian dari 6 negara majoriti Islam, walaupun kes itu masih dalam prosiding di mahkamah rendah.
Panel 9 hakim dengan 2 hakim bebas yang membantah, membenarkan permohonan kerajaan untuk membatalkan 2 injunksi diluluskan mahkamah rendah untuk melaksanakan sebahagian sekatan itu, yang merupakan versi ke-3 dasar kontroversi yang cuba dikuatkuasakan Trump hanya seminggu selepas beliau menjadi presiden pada Januari lalu.
Tindakan Mahkamah Tinggi bermakna sekatan itu kini boleh dilaksanakan sepenuhnya ke atas warga Chad, Iran, Libya, Somalia, Syria dan Yaman daripada memasuki AS.
Presiden Republican itu berkata, sekatan perjalanan itu perlu bagi melindungi AS daripada keganasan militan Islam.
Peguam Negara, Jeff Sessions dalam satu kenyataan menyifatkan keputusan Mahkamah Agung itu “kemenangan besar untuk keselamatan dan keamanan rakyat Amerika”.
Katanya, kerajaan pimpinan Trump gembira dengan keputusan majoriti hakim itu “membenarkan pengisytiharan sah presiden itu untuk melindungi keselamatan negara dilaksanakan sepenuhnya”.
Sekatan itu dicabar dalam tuntutan berasingan oleh Hawaii dan Kesatuan Kebebasan Sivil Amerika (ACLU) yang menyatakan sekatan itu seperti yang terdahulu, mendiskriminasi umat Islam dengan melanggar Perlembagaan AS dan tidak dibenarkan di bawah undang-undang imigresen.
Trump menerusi kempen presidennya pernah berjanji akan melaksanakan “sekatan menyeluruh bagi menghalang umat Islam memasuki AS”.
Minggu lalu, beliau berkongsi video anti-Islam yang dimuat naik seorang pemimpin parti berhaluan kanan British, di Twitternya.
“Prasangka anti-Islam presiden Trump bukan rahsia, beliau berulang kali mengesahkannya, termasuk minggu lalu di Twitter,” kata peguam ACLU, Omar Jadwat.
“Malang sekali sekatan penuh itu boleh dilaksanakan sekarang, tetapi arahan ini tidak memenuhi merit tuntutan kami. Kami terus memperjuangkan kebebasan, kesaksamaan dan mereka yang dipisahkan secara tidak adil dengan orang tersayang.”
Mahkamah rendah sebelum ini mengehadkan skop sekatan itu ke atas pemohon yang tiada ahli keluarga terdekat atau hubungan perniagaan dengan syarikat AS.
Larangan itu turut meliputi warga Korea Utara dan pegawai kerajaan tertentu dari Venezuela, tetapi mahkamah rendah sudah membenarkan peruntukan itu dilaksanakan.
Mahkamah Tinggi berkata, dalam 2 arahan sama 1 muka surat itu, mahkamah rendah memutuskan sebahagian sekatan itu perlu ditangguhkan sementara Mahkamah Rayuan persekutuan di San Francisco dan Richmond, Virginia menimbang kes berkenaan. Kedua-dua mahkamah itu akan mendengar hujah dalam kes itu, minggu ini.
Mahkamah Agung berkata, sekatan itu kekal berkuat kuasa tanpa mengambil kira apa yang diputuskan Mahkamah Rayuan, sekurang-kurangnya sehingga hakim akhirnya memutuskan sama ada mahu mengambil isu itu berdasarkan merit, di mana kemungkinan besar mereka akan berbuat demikian.
Menurut perintah mahkamah itu, Mahkamah Rayuan perlu memutuskan kes “dengan laporan sesuai.”
“Kami bersetuju penyelesaian segera diperlukan demi universiti, perniagaan kami dan paling penting rakyat ditindas arahan menyalahi undang-undang ini,” kata Peguam Negara Hawaii, Douglas Chin.
Hakim Ruth Bader Ginsburg dan Sonia Sotomayor berkata, mereka akan menolak permintaan kerajaan.
Isyarat kuat
Keputusan pada Isnin itu menghantar isyarat kuat yang mahkamah mungkin mengekalkan sekatan itu berdasarkan merit, apabila kes itu kembali kepada hakim dalam beberapa bulan.
Terdapat beberapa pengecualian untuk sekatan itu. Orang tertentu dari negara disasarkan itu masih boleh memohon visa untuk tujuan pelancongan, perniagaan atau pendidikan dan pemohon boleh meminta pengecualian individu.
Mahkamah Rayuan berpangkalan di San Francisco akan mendengar hujah berdasarkan merit untuk tuntutan Hawaii pada Rabu ini di Seattle, manakala Mahkamah Rayuan di Richmond akan mendengar hujan diketuai ACLU, Jumaat ini.
Trump mengeluarkan sekatan perjalanan pertamanya yang menyasarkan beberapa negara bermajoriti Islam, Januari lalu, sebelum mengemukakan versi pindaan pada Mac lalu, selepas versi pertama disekat Mahkamah Persekutuan.
Versi ke-2 itu tamat tempoh September lalu, selepas prosiding panjang di mahkamah dan diganti dengan versi terkini.
Kerajaan pimpinan Trump berkata, presiden akan melaksanakan sekatan terbaru itu selepas kajian global mengenai kemampuan setiap negara mengeluarkan pasport boleh dipercayai dan berkongsi data dengan AS.
Pentadbiran Trump berkata, seorang presiden berkuasa menentukan siapa boleh memasuki AS, tetapi pengkritik menyifatkan sekatan penuh itu melanggar undang-undang yang melarang kerajaan mendiskriminasi berdasarkan kewarganegaraan ketika mengeluarkan visa.
Washington bagaimanapun menafikan sekatan itu bersifat diskriminasi dan bertegas kebanyakan negara bermajoriti Islam tidak terjejas dengan dasar itu.
Dilarang masuk AS: Kecuali ada ibu, ayah, suami, isteri, anak, menantu…
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram