Penduduk hilang tempat tinggal di Rakhine pulang ke rumah

Penduduk hilang tempat tinggal di Rakhine pulang ke rumah

Mereka yang kembali termasuk kumpulan terakhir seramai 123 penganut Hindu, yang berpindah dari Sittway dan berlindung di sebuah kem berhampiran pejabat kerajaan serantau Maungtaw.

Rohingya
YANGON: Semua penghuni di 31 kem perlindungan di Sittway, barat Rakhine, Myanmar, pulang ke rumah masing-masing ekoran keadaan di negeri itu kembali pulih, menurut Global New Light of Myanmar, memetik sumber kerajaan Rakhine pada Selasa.

Agensi berita China Xinhua melaporkan, mereka yang kembali termasuk kumpulan terakhir 123 penganut Hindu, yang berpindah dari Sittway dan berlindung di sebuah kem berhampiran pejabat kerajaan serantau Maungtaw.

Pihak berkuasa tempatan memperuntukkan tanah kepada penduduk yang kehilangan rumah dalam serangan keganasan, selain menyediakan makanan dan keselamatan kepada semua komuniti di kawasan berkenaan, kata laporan itu.

Pihak berkuasa Myanmar merancang mengembalikan semula rumah kepada penduduk tempatan di daerah yang terjejas akibat konflik di Rakhine dalam masa sebulan.

Langkah itu, merupakan sebahagian daripada pelaksanaan proses pemulihan dan penempatan semula oleh Union Enterprise for Humanitarian Assistance, Resettlement and Development (UEHRD), merangkumi pembinaan infrastruktur termasuk bangunan, jalan raya, bekalan air dan elektrik dilancarkan pada November di utara Rakhine.

Pembinaan infrastruktur dilaksanakan pasukan pembinaan, 1 daripada 9 pasukan petugas sektor swasta yang dibentuk menyertai mekanisme UEHRD, diketuai Kaunselor Negara Aung San Suu Kyi.

Sementara itu, sukarelawan belia memulakan program penyediaan bantuan kemanusiaan di kawasan dilanda konflik di bandar Buthidaung dan Maungtaw.

Suu Kyi mengutamakan 3 tugas utama akan dilaksanakan di Rakhine, iaitu penghantaran pulang pelarian yang lari ke Bangladesh, menyediakan bantuan kemanusiaan dengan berkesan, penempatan semula, pemulihan, serta membawa pembangunan ke rantau itu dan mewujudkan keamanan berkekalan.

Kerajaan Myanmar melaksanakan beberapa projek jangka pendek untuk membawa keamanan, kestabilan dan pembangunan di utara Rakhine, selepas rantau itu memperoleh semula keamanan serta kestabilan.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.