Titik akhir ke PRU14, Najib gesa ketepi rebut jawatan parti

hishamuddin-najibKUALA LUMPUR: Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak menekankan Pilihan Raya Umum ke-14 mengatasi pemilihan parti ketika Malaysia bersiap sedia untuk pilihan raya tahun depan, kata Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Menyeru ahli ketepikan perebutan jawatan dan bersedia hadapi cabaran PRU-14, Hishammuddin berkata Najib meminta ahli parti mendahulukan kepentingan parti mengatasi peribadi.

“Sekarang merupakan titik terakhir. Dalam titik terakhir ini kita kena gemblengkan semangat, rapatkan barisan, pastikan tumpuan bukan kepada pemilihan parti tetapi untuk PRU14,” katanya ketika ditemui selepas Najib menyampaikan amanat di Perhimpunan Agung Umno ke-71 di PWTC hari ini.

Sesetengah pihak meramalkan PRU14 akan diadakan awal tahun depan, di mana Umno-Barisan Nasional dijangka berdepan parti serpihan PPBM yang ditubuhkan veteran parti seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir. BN juga dijangka berdepan pertandingan 3 penjuru di kawasan-kawasan yang ditandingi PAS, Amanah atau PKR.

Hishammuddin berkata Najib mengingatkan setiap jentera Umno bekerja keras seolah-olah esok pilihan raya umum.

Sementara itu, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron pula berkata, Najib menggesa setiap ahli di peringkat cawangan, bahagian dan ahli majlis tertinggi selesaikan segala masalah dalaman parti agar Umno tampilkan barisan yang mantap pada PRU nanti.

“Kita lunaskan semua masalah kerana kita kena berhadapan dengan pilihan raya umum dan tunjukkan kepada pengundi bahawa kita mempunyai satu persamaan.

“Tidak ada lagi tuding jari, tidak ada lagi kata parti tidak betul, manakala kita pula adalah yang terbaik di masa pembangkang berada dalam keadaan bersepah-sepah serta tidak berstruktur,” kata Idris.

Sementara itu, bekas menteri besar Selangor Datuk Seri Mohammad Mohammad Taib juga berkata, Najib memberi keyakinan kepada ahli bahawa krisis ekonomi dan kejatuhan nilai ringgit adalah sementara.

“Satu yang disebut presiden tadi ialah kekuatan kewangan kita suatu ketika dahulu AS$1 adalah sebanyak RM4.50, hari ini kita sudah hampir nak sampai ke paras bawah RM4 ringgit.

“Ini bermakna, ia merupakan suatu kekuatan kewangan negara dan ini adalah perkara yang perlu digembar-gemburkan. Ini suatu cerita yang sepatutnya didengarkan kepada rakyat,” katanya.