Buang nostalgia mengenai Dr Mahathir, kata Khairy

khairyKUALA LUMPUR: Khairy Jamaluddin hari ini mengingatkan ahli Umno dan rakyat tidak perlu menganggap Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pemimpin teragung disebabkan nostalgia dongeng yang dijaja bekas perdana menteri itu sehingga tidak nampak sumbangan pemimpin sekarang kepada pembangunan negara.

Ketua Pemuda Umno itu berkata, rakyat terutamanya anak muda khayal dengan nostalgia dongeng sehingga mereka percaya pembangunan negara jauh lebih baik pada zaman Dr Mahathir berbanding Datuk Seri Najib Razak.

Beliau tidak menafikan kemajuan pesat yang dibawakan pemimpin dahulu, tetapi kebanyakannya hanya memfokuskan Lembah Klang, bukannya seluruh negara.

“Memang betul Menara Berkembar Petronas yang tinggi menjulang adalah legasi beliau, begitu juga Litar Lumba Sepang dan Putrajaya. Tapi jangan dilupa, kebanyakan daripada fokus kemajuan tersebut hanya di Lembah Klang. Bagaimana pula dengan kawasan lain?

“Di zaman beliau, tiada pula kita melihat projek-projek seperti koridor ekonomi di Iskandar, di utara, Pantai Timur, Sabah dan Sarawak. Juga Vision Valley di Negeri Sembilan. Pada zaman itu, ada ke dibina Lebuhraya Pan Borneo yang menyambungkan Sematan di hujung Sarawak hingga Tawau di hujung Sabah, tanpa tol?

“Apakah ada pembangunan yang besar di Pantai Timur Semenanjung? Yang pasti berlaku dan takkan saya lupa, projek Lebuhraya Pantai Timur di Terengganu dibatalkan setelah Barisan Nasional kalah di situ pada 1999 (ketika Dr Mahathir menjadi perdana menteri),” katanya dalam ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Pemuda Umno hari ini.

Menteri belia dan sukan itu berkata, kemajuan negara bukan diukur dengan projek mega dan bangunan pencakar langit, sebaliknya ia merangkumi banyak aspek lain.

“Pada zaman itu, negeri yang kadar kemiskinannya berada di bawah paras 1% hanya Kuala Lumpur, yang lain jauh lebih tinggi.

“Negeri beliau sendiri (Kedah) lebih 10%. Takkan kita cetek sangat, semata-mata ada KLCC, ada Putrajaya, ada Litar Sepang, kita terus anggap semua rakyat dari Perlis ke Johor, Perak ke Sabah, hidup sama rata?,” katanya sambil memaklumkan kerajaan pimpinan Najib menjalankan pembangunan sama rata di bandar mahupun luar bandar.

Khairy berkata, Dr Mahathir yang kini pengerusi Pakatan Harapan tidak terlepas daripada kegagalan ketika beliau menerajui negara selama 22 tahun.

“Ini lagi satu nostalgia dongeng yang saya tak boleh tahan. Konon zaman mereka semua sempurna, zaman kita salah sedikit pun dah macam bencana. Janganlah kita jadi Melayu yang mudah lupa, kegagalan mega pun kita tak ingat.

“Bank Negara rugi tukaran asing lebih RM31 bilion, kita lupa? Perwaja Steel rugi RM10 bilion, pun kita lupa? PKFZ rugi RM4.6 bilion, kita lupa juga? Belum kira BioTech Valley, konon nak tarik pelabur dan pelaburan, tapi apa yang terjadi sasaran pelaburan RM1 bilion sepi tanpa berita.

“Belum lagi cerita tentang e-Village konon nak bina Studio Hollywood Asia, tapi setelah bagi peruntukan lebih RM2 bilion, habuk pun tiada. Satu lagi InventQjaya konon nak bina pusat kajian dan paten, kajian dan patennya entah ke mana, hutang RM242 juta yang rakyat sehingga kini terpaksa biaya.

“Ini belum kira lagi kerugian RM1.5 bilion Maminco dalam pasaran timah, lepas itu guna pula duit KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) untuk bayar hutang mereka; kerugian beli semula saham MAS lebih 2 kali harga pasaran; penggunaan duit rakyat untuk naikkan harga saham Time Dot Com bila mereka berhutang hampir RM5 bilion. Dan macam-macam lagi kalau kita nak bercerita.”

Beliau berkata, dahulu dan sekarang adalah 2 zaman berbeza.

“Malaysia pada ketika itu adalah antara sebahagian kecil negara yang mengamalkan dasar ekonomi terbuka, pelaburan luar melimpah masuk, merangsang pembangunan ekonomi yang pantas.

“Hari ini, negara seperti India, China dan Vietnam yang dahulunya mengamalkan dasar tertutup, kini terbuka luas pintunya, memberikan lebih pilihan kepada pelabur, menjadikan persaingan begitu sengit buat Malaysia. Kita bukan ingin memberi alasan, tetapi realiti perlu diperjelaskan.”