Pasar raya halal di Paris diarah tutup kerana tak jual arak, babi

Pasar raya halal di Paris diarah tutup kerana tak jual arak, babi

Mahkamah mengeluarkan perintah itu selepas mendapati Pasaraya Mini Good Price di Colombes gagal mematuhi kontrak penyewaan premis yang menyatakan kedai itu perlu bertindak sebagai 'pasar raya umum'.

paris-supermarket
PETALING JAYA: Mahkamah di Perancis mengarahkan sebuah pasar raya halal di Paris ditutup kerana tidak menjual arak dan daging babi.

The Independent melaporkan sebuah mahkamah di Nanterre mengeluarkan perintah itu selepas mendapati Pasaraya Mini Good Price yang terletak di Colombes gagal mematuhi kontrak penyewaan premis yang menyatakan kedai itu perlu bertindak sebagai “pasar raya umum”.

Pihak berkuasa tempatan berkata, penduduk setempat tidak mendapat perkhidmatan sewajarnya kerana kedai itu tidaak menjual produk arak dan babi.

Menurut laporan pegawai mahkamah, bekalan pasar raya itu hampir semuanya terdiri daripada produk halal.

Pengurus pasar raya itu berkata, mereka menjalankan perniagaan berdasarkan permintaan pasaran tempatan.

Hujahnya disokong peguamnya yang berkata, kedai itu tiada kewajipan menjual alkohol kerana ia “bukan sebahagian daripada diet umum”, sebaliknya sekadar pelengkap makanan.

Mahkamah bertegas bekalan di kedai itu “terhad dan tidak memenuhi konsep kebaikan umum yang luas”.

Sehubungan itu, mahkamah mengarahkan kontrak penyewaan premis itu ditamatkan dan pengusahanya diusir.

Pengurus pasar raya itu juga diperintah membayar kos guaman €4,000 (RM19,245) kepada pihak berkuasa tempatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.