Proton beri pembekal 30 hari untuk potong harga

Li-Chunrong_proton_600PETALING JAYA: Pengeluar kereta kebangsaan Proton Holdings Bhd memberikan pembekal barangan automotifnya tempoh 30 hari untuk memotong harga sebanyak 20%.

Menurut portal The Malaysian Reserve (TMR), tempoh ini diguna pakai untuk model semasa dan masa depan.

Laporan itu memetik pihak pembekal yang mengatakan potongan 10% dijangka berlaku Disember depan, membawa jumlah pengurangan pada masa depan kepada 30%.

Ini menyusuli seruan Ketua Pegawai Eksekutif Li Chunrong yang mahu harga dipotong sebanyak 20% bagi mengekalkan persaingan antara pembekal.

Li berkata Proton akan bekerja dengan pembekal untuk membantu mereka merendahkan kos dan mencapai sasaran.

Satu pembekal lain bagaimanapun mengingatkan langkah itu boleh menjejaskan rantaian bekalan, kerana jualan yang rendah telah menghakis kebolehuntungan.

Beliau memberitahu TMR yang sesetengah pembekal gagal mendapatkan keuntungan kerana pengeluaran bulanan Proton menurun kepada lebih kurang 6,000 unit.

Lagi satu pembekal berkata potongan 20% itu dapat diterima jika syarikat dapat menampung jumlah pengeluaran, kata laporan itu.

Menurut statistik yang dikeluarkan semalam, Proton mencapai 66,190 unit dalam jualan setakat akhir November, iaitu pertumbuhan sebanyak 2% berbanding 65,069 pada tempoh sama tahun lepas.

Pertumbuhan itu banyak didorong oleh jualan model Saga dan Persona, kata laporan itu.

Zhejiang Geely Holdings Group Co Ltd kepunyaan China memiliki 49.9% kepentingan dalam Proton selepas menandatangani urus janji bernilai RM460.3 juta dengan syarikat induk DRB-Hicom Bhd awal tahun ini.

Bawah persetujuan itu, Geely akan meminjamkan kepakaran dalam bidang pengeluaran, pengilangan, operasi dan pasaran.

Pembekal Proton sudah menikmati perniagaan bebas persaingan selama lebih 30 tahun daripada pengeluar kereta kebangsaan itu, dan ramai yang bimbang perniagaan mereka terjejas oleh kemasukan Geely. Ramai tidak berpuas hati dengan seruan pengurangan harga 20% itu.