Umno Sabah: Tiada ‘Brexit’ untuk Sabah

sabahKUALA LUMPUR: Umno Sabah sama sekali tidak akan membiarkan mana-mana pihak cuba “Brexit” (keluarkan) negeri di bawah bayu itu dengan slogan “Sabah untuk Sabah” yang akhirnya akan menghancurkan Sabah sendiri.

Ketua Pemuda Umno Tenom Jamawi Jaafar berkata ini kerana sebaik sahaja Sabah membentuk sebahagian Malaysia 54 tahun lalu, kedaulatan negeri itu sudah pun terjamin bawah Perjanjian Malaysia 1963.

Justeru, katanya, tiada keperluan untuk negeri yang memiliki lebih 35 suku kaum itu keluar dari Malaysia, hanya kerana terdapat sekumpulan individu dan pihak tertentu cuba membangkitkan pelbagai isu lapuk dan disebut ”bangas” (basi) oleh kebanyakan rakyat Sabah.

“Ketika ini memang kita tidak nafikan wujud anasir dan dakyah halus dan terang-terangan dibawa golongan tertentu untuk menyemarakkan kebencian kepada kerajaan persekutuan, oleh itu ia perlu dibanteras mengikut undang-undang kerana anasir ini boleh bergerak lebih laju dengan bantuan internet,” katanya kepada Bernama.

Brexit merujuk kepada langkah rakyat Britain keluar daripada Kesatuan Eropah (EU) melalui keputusan pungutan suara dengan andaian, jika bersendirian, ekonomi Britain akan lebih kukuh dan stabil.

Malam tadi, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan perasmian ketiga-tiga sayap Umno, memberi amaran kepada puak tertentu di negeri itu yang cuba menjadi batu api dan penghasut bagi mengeluarkan Sabah dan Sarawak dari Malaysia.

Ahmad Zahid berkata penghasut sedemikian boleh dihukum dengan hukuman berat dan mereka tidak kebal undang-undang.

Jamawi yang juga Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia berkata antara isu ”bangas” yang sering dibangkitkan ialah royalti minyak untuk Sabah serta hasil bumi yang dibawa keluar dari negeri itu, kononnya digunakan untuk memajukan Semenanjung.

Ketua Wanita UMNO Sepanggar Datuk Jainab Ayid berkata rakyat Sabah seharusnya mengambil iktibar kehidupan etnik Rohingya yang terpaksa menjadi pelarian dan dibuang dari negara sendiri.

“Walaupun konteksnya berbeza tapi tidak mustahil rakyat Sabah juga boleh menjadi pelarian apabila sudah keluar negara ini,” katanya.

Jainab yang juga Anggota Exco Wanita Umno Malaysia berkata Sabah di bawah pimpinan kerajaan Barisan Nasional dan Umno sudah jauh lebih baik dan mencapai kemajuan infrastruktur dalam tempoh masa singkat.

Malah, katanya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ahmad Zahid merupakan 2 pemimpin utama negara yang tidak pernah mengabaikan Sabah dan Sarawak apatah lagi hak kedua-dua negeri itu yang sudah terkandung dalam perlembagaan negara.

Senada dengan beliau ialah Ketua Wanita Umno Sabah Datuk Armani Mahirudin yang berpendapat tindakan mahu mengeluarkan Sabah dari Malaysia sebagai “cubaan bunuh diri dan kerja orang gila”.

“Kalau keluar (dari Malaysia), belum pun sampai sejam atau sehari, Sabah pasti hancur,” katanya dan menambah, Umno Sabah tetap akan mempertahankan negeri itu dan akan turun padang berkhidmat untuk rakyat tanpa mengira bangsa.