Zaid mungkin disiasat bawah Akta Hasutan, SKMM, kata KPN

Mohamad-Fuzi-Harun_zaid-ibrahim5_600

KUALA LUMPUR: Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata Datuk Zaid Ibrahim mungkin akan disiasat di bawah Seksyen 4 Akta Hasutan atau Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia yang mempersoalkan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Ketua polis negara itu dimaklumkan laporan polis telah dibuat terhadap bekas menteri itu, bagaimanapun, Fuzi belum dimaklumkan jumlah laporan polis terhadap Zaid setakat ini.

“Bahkan, sebelum saya tiba di sini, saya telah menyemak…mungkin lepas ini saya akan dapat maklumat semuanya. Sekarang ini saya tak boleh dedahkan lebih dari itu,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Tabung Prihatin Pengaman Yayasan Pengaman Malaysia di Pulapol hari ini.

Tiga hari lalu, Zaid dalam kiriman Twitter berkata Sultan Selangor “seharusnya lebih berhati-hati dengan kata-katanya”.

“Tidak ada sesiapa yang kebal apabila negara terbakar,” kata Zaid.

Beliau berkata demikian selepas Sultan Sharafuddin antara lain menegur bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang dikritik kerana kenyataan yang dilihat menghina keturunan Bugis.

Ditanya mengenai rancangan BN Selangor menganjurkan tunjuk perasaan di depan Istana Selangor di Shah Alam sebagai tanda sokongan kepada institusi diraja, Fuzi berkata polis akan mengawal himpunan itu sekiranya ia berlaku.