Bekas Adun Jawi, 100 yang lain, keluar DAP

Bekas Adun Jawi, 100 yang lain, keluar DAP

Tan berkata keputusan menyertai PAP dibuat selepas melihat DAP tidak lagi memegang prinsip sosialis demokrat, sebaliknya menjurus kepada parti yang dikuasai oleh 'Dinasti Kekeluargaan'.

Bekas-Adun-Jawi-Tan-Beng-Huat
NIBONG TEBAL: Bekas Adun Jawi Tan Beng Huat bersama 100 ahli serta penyokong DAP kawasan Nibong Tebal hari ini mengumumkan keluar parti itu dan menyertai Parti Alternatif Rakyat (PAP).

Tan yang menjadi Adun selama 1 penggal selepas memenangi pilihan raya umum ke-12 (PRU12) berkata keputusan menyertai PAP dibuat selepas melihat DAP tidak lagi memegang prinsip sosialis demokrat, sebaliknya menjurus kepada parti yang dikuasai oleh ”Dinasti Kekeluargaan”.

“Keadaan berubah setelah DAP menjadi peneraju kerajaan negeri Pulau Pinang selama 2 penggal.

“Ideologi diperjuangkan mereka selama ini bukan lagi menjadi satu keutamaan bagi parti itu bila mana jasa ahli veterannya mula dilupakan malah lebih menjerumus kepada parti yang dikuasai oleh ‘Dinasti Kekeluargaan’,” katanya pada sidang akhbar khas pengumuman itu hari ini.

Pada sidang akhbar itu, Tan memotong kad keahlian DAP sebagai simbolik keluar parti yang disertainya lebih 10 tahun itu dan turut diumum sebagai Ketua Perhubungan PAP Pulau Pinang.

Tan mendakwa sikap ego, bongkak dan sombong juga mula meresap dalam pentadbiran parti DAP malah turut dipraktikkan dalam pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang dan dilihat semakin kronik apabila rakan sekutu mereka iaitu PKR turut diperlekeh dalam beberapa isu melibatkan soal pentadbiran kerajaan negeri.

“Parti DAP bukan lagi sebuah ‘bumbung selamat’ bagi kita untuk berteduh dalam jangka masa panjang sekiranya ‘Dinasti Kekeluargaan’ masih dipertahankan. Malah sudah sampai masanya semua pengundi Cina menilai kembali masa depan dan hala tuju generasi kita,” katanya.

Sementara itu, Presiden PAP Zulkifli Mohd Noor yang turut hadir pada sidang akhbar itu berkata lebih ramai lagi ahli DAP dijangka menyertai PAP dan akan dilakukan secara berperingkat dari semasa ke semasa.

Beliau berkata dengan pertambahan keanggotaan itu, pihaknya akan menubuhkan 5 cawangan di Parlimen Nibong Tebal dalam masa terdekat.

Sementara itu, mengulas mengenai persediaan parti itu menjelang PRU14, Zulkifli berkata PAP menyasarkan untuk bertanding di Pulau Pinang, Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

“PAP akan cuba bertanding di kesemua 13 kerusi Parlimen dan 40 DUN di Pulau Pinang. PAP ingin menyampaikan mesej parti ini begitu serius untuk memerintah negeri ini secara sendiri atau secara bersama terpulang kepada keputusan PRU14 nanti,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.