Cadangan pulih hutan Merapoh diteliti kerajaan Pahang

merapoh-3KUANTAN: Kerajaan Pahang sedang meneliti cadangan Jabatan Alam Sekitar (JAS) tentang langkah memulihkan semula Hutan Merapoh, Lipis yang sebelum ini terjejas dengan aktiviti pembalakan.

Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Muhammad Safian Ismail berkata, selepas kerajaan negeri berpuas hati, kerajaan negeri akan menyerahkan cadangan itu kepada Pejabat Hutan, Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) dan Yayasan Pahang untuk tindakan susulan.

“Kami berharap semua cadangan tentang langkah membaik pulih hutan itu dapat dilaksanakan sebelum Tahun Baru Cina tahun depan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Minggu Inovasi MPK 2017 semalam.

Katanya, kerja pembalakan di Hutan Merapoh Lipis, sudah dihentikan sepenuhnya dan rundingan dengan Yayasan Pahang dan PKPP juga sedang dijalankan berikutan kawasan terlibat merupakan tanah milik mereka.

Katanya, semua tindakan termasuk cadangan daripada JAS itu diharap dapat disempurnakan sebelum Tahun Baru Cina.

Penerokaan Hutan Merapoh mendapat tentangan penduduk setempat dan badan bukan kerajaan (NGO) kerana dikhuatiri menjejaskan alam sekitar dan kawasan tadahan air di situ.

Pada 30 November lalu, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dilaporkan berkata kerja pembalakan masih berlaku dan mengarahkan kerja itu dihentikan.

Sementara itu, dalam perkembangan banjir di Pahang, Muhammad Safian berkata, semua keperluan di pangkalan hadapan telah dihantar sepenuhnya termasuk penyediaan 16,000 kit makanan awal.

“Saya diberitahu ramalan hujan lebat berterusan dijangka berlaku mulai 16 Disember sehingga minggu pertama Januari depan.

Katanya, jumlah pangkalan hadapan turut ditambah kepada 116 berbanding 107 tahun lepas manakala pusat pemindahan ditambah kepada 686 pusat yang boleh menempatkan 172,000 mangsa banjir dalam satu-satu masa berbanding 666 pusat sebelum ini.