
Wakil Umno Perak Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie, yang juga Ketua Umno Bahagian Taiping berkata pakej mesra milik tersebut selain melihat kepada harga bagi setiap unit, perlu juga memberi fokus kepada tempoh pembayaran.
“Terdapat banyak syarikat yang membina projek perumahan mampu milik antaranya Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia, Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia dan Syarikat Perumahan Negara Bhd yang mana harga bagi setiap unit adalah di bawah RM250,000.
“Tetapi masih ramai yang tidak dapat membeli rumah mampu milik tersebut dan mereka hanya ‘mampu marah dan mampu tolak kerajaan’,” katanya ketika mencadangkan usul ekonomi pada Perhimpunan Agung Umno 2017 di sini hari ini.
Ahmad Shalimin berkata terdapat beberapa projek perumahan di Perak meletakkan harga dalam lingkungan RM145,000 dan RM150,000 serta membolehkan hampir 100% Bumiputera memiliki rumah dengan mudah.
“Dengan ini kita dapat mengurangkan bebanan golongan Bumiputera memiliki rumah terutama sekali di bandar-bandar maju di kawasan Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor Bahru,” katanya.
Sementara itu, wakil Umno Negeri Sembilan Datuk Hasim Rusdi, yang juga Ketua Umno Bahagian Rasah, menyokong usul ekonomi menggesa kerajaan memikirkan mekanisme harga rumah mampu milik.
“Kita juga berharap agar pemaju-pemaju projek perumahan untuk menyediakan sekurang-kurangnya 50% rumah mampu milik bagi setiap projek perumahan mereka,” katanya.
Sementara itu, usul ekonomi yang dibawa oleh Ahmad Shalimin dan disokong Hasim diterima sebulat suara oleh perwakilan dalam perhimpunan hari kedua itu.
Pengerusi Tetap Tan Sri Badruddin Amiruldin meminta perwakilan untuk mengangkat tangan sebagai tanda setuju pada kira-kira 7.00 malam, beberapa minit sebelum mengumumkan penangguhan persidangan untuk hari ini.
Persidangan hari terakhir bagi Perhimpunan Agung 2017 akan bermula pada 8.30 pagi esok, yang akan dimulakan dengan perbahasan usul agama dan pendidikan.