Usul tiada pertandingan berlawanan transformasi Najib, kata ahli akademi

Kamarul-Zaman-Yusoff_umno_najib_600

PETALING JAYA: Seorang ahli akademi mengkritik usul tidak pertandingkan 2 jawatan tertinggi dalam Umno pada pilihan raya umum akan datang, yang mendapat sokongan sebulat suara perwakilan di Perhimpunan Agung Umno hari ini.

Kamarul Zaman Yusoff dari Universiti Utara Malaysia (UUM) hari ini berkata tindakan seperti itu tidak sejajar cakap-cakap transformasi politik untuk demokrasikan Umno.

Beliau mengulas usul yang dibawa Pemuda Umno yang mengusulkan Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Zahid Hamidi tidak dicabar pada pemilihan parti akan datang.

Pengerusi Tetap Badruddin Amiruddin berkata usul diluluskan sebulat suara pada ses pagi PAU di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini. Usul itu dibawa Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin pada Rabu, dan berkata Pemuda Umno akan memberikan sokongan penuh kepada Najib dan Zahid untuk terus menerajui parti.

Kamarul berkata usul itu tidak masuk akal kerana ia tidak sesuai dengan kritikan oleh pimpinan Umno terhadap cara pentadbiran bekas presiden parti, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Langkah tidak pertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden itu salah satu daripada legasi Dr Mahathir semasa beliau menerajui parti itu kerana bimbang dia akan cabar selepas hampir tewas pada pemilihan Umno 1987.

“Apabila Najib mengatakan Dr Mahathir hanya akan membawa negara ini ke belakang dengan cara autokratik, jadi pertama sekali usul itu tidak sepatutnya dibuat.

“Ia memberi gambaran Najib dan Zahid takut dicabar” katanya.

Kamarul menambah usul seperti itu tidak perlu kerana tiada pemimpin lain dalam parti yang mampu mencabar Najib untuk jawatan presiden.

“Bagaimanapun, jawatan timbalan presiden masih kosong dan oleh itu, patutnya terbuka untuk dipertandingkan,” katanya. Kerusi itu dikosongkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dipecat dari parti tahun lepas.

Zahid menjalankan tugas timbalan walaupun kekal sebagai naib presiden.

Merujuk kepada kenyataan “transformasi politik”, Kamarul memetik ucapan dasar Najib semalam yang menyatakan bagaimana parti itu kini lebih demokratik berbanding sebelum ini.

“Perhimpunan Agung Umno pada 2009 meluluskan 7 pindaan perlembagaan bagi membuka ruang kepada pemilihan parti dijalankan secara terbuka, dengan penyertaan lebih 150,000 ahli.

“Ini bagi memastikan Umno kekal dynamik, inklusif dan relevan,” kata Kamarul membandingkan dengan bagaimana hanya 3,000 perwakilan membuat keputusan.

Beliau kemudian menggesa Najib dan Zahid menolak usul itu dan membenarkan Umno peringkat bahagian mencalonkan sesiapa sahaja untuk 2 jawatan tertinggi itu, walaupun usul itu sudah diluluskan.