4 polis terlibat pecah rumah ditahan

Ketua-Polis-Daerah-Kuantan-ACP-Abdul-Aziz-Salleh

KUANTAN: Empat anggota polis ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pecah rumah di Taman Alam Perdana pada 9 November lalu, selepas kejadian itu tular di media sosial, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Abdul Aziz Salleh berkata lans koperal dan koperal polis masing-masing berusia antara 25 hingga 36 tahun itu ditahan pada pukul 4 petang, 7 Disember lalu di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan.

“Polis menjalankan siasatan ekoran aduan daripada seorang lelaki pada 10 November lalu bahawa sebuah rumah yang dijadikan stor penyimpanan rokok seludup pelbagai jenama dipecah masuk, bagaimanapun tiada sebarang maklumat diperoleh.

“Kejadian itu didapati tular di laman sosial pada pukul 3 petang, Khamis lalu sehingga membawa kepada maklumat yang membolehkan kita menahan semua suspek,” katanya pada sidang media di IPD Kuantan, hari ini.

Abdul Aziz menambah semua suspek ditahan dalam tempoh 4 jam selepas perkara itu dimuat naik ke media sosial dan setakat ini, semua suspek ditahan reman selama 3 hari.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyem 457 Kanun Keseksaan iaitu pecah rumah yang membawa hukuman penjara sehingga 5 tahun serta denda dan jika kesalahan mencuri, tempoh penjara boleh dilanjut sehingga 14 tahun bagi kesalahan kedua serta denda dan sebat, jika sabit kesalahan.

Difahamkan, lokasi kejadian terletak kira-kira 500 meter dari pondok pengawal dan kawasan perumahan berkenaan hanya boleh dimasuki menggunakan kad berpagar automatik selain dikawal rapi pengawal keselamatan.

Abdul Aziz juga menegaskan polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai atau anggota yang melanggar peraturan atau terbabit dalam kegiatan jenayah.