
“Beliau mesti bertanggungjawab terhadap kenyataannya,” kata menteri besar Selangor itu ketika menghadiri sebuah majlis di Kota Damansara hari ini.
Ia selepas seorang pemimpin DAP kelihatan menjauhkan diri daripada Zaid yang juga ahli parti itu.
Semalam, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua dilaporkan berkata, ahli DAP “bebas menyuarakan pandangan mereka, tetapi mesti sanggup berdepan akibatnya”.
Setiausaha publisiti DAP itu diminta mengulas teguran Sultan Sharafuddin Idris Shah kepada Zaid supaya kembali ke Kelantan.
Pua berkata, tindakan sedemikian akan memberi kesan kepada parti, terutamanya apabila orang yang terlibat tidak memegang sebarang jawatan dalam parti.
Kontroversi itu tercetus awal minggu ini apabila Sultan Selangor dilaporkan berkata, agenda politik Tun Dr Mahathir Mohamad didorong “kebencian mendalam” dan “kemarahannya akan membakar seluruh negara”.
Zaid dalam catatan Twitternya berkata: “Sultan Selangor seharusnya lebih berhati-hati dengan kata-katanya. Tiada sesiapa yang kebal apabila negara terbakar.”
Tweet itu mencetuskan kegemparan, lebih-lebih lagi dalam kalangan pemimpin dan ahli Umno yang mendesak tindakan diambil terhadap Zaid kerana mengkritik sultan.
Pengerusi Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, Umno Selangor akan mengadakan perhimpunan esok untuk menyokong dan mempertahankan Sultan Sharafuddin.
Khamis lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, Zaid boleh disiasat di bawah Seksyen 4 Akta Hasutan atau Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia kerana mempertikaikan titah Sultan Selangor.
Malam tadi, Zaid menulis di Twitter: “Nampaknya saya tiada kawan yang mahu berada di samping saya di waktu sukar ini.
“Saya akan cuba bertemu TPM (Datuk Seri Ahmad) Zahid Hamidi sebaik sahaja beliau sudi. Lagipun ini mengenai keselamatan saya dan keluarga.”