Hindraf sokong Zaid selepas diugut Jamal

Waytha-zaidPETALING JAYA: Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) menyuarakan sokongan kepada bekas menteri, Datuk Zaid Ibrahim yang diugut Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos.

“Hak asasi asas menuntut beliau perlu diberikan perlindungan, kesaksamaan dan keadialan, tanpa mengira apa yang didakwa beliau tweet,” kata Pengerusi Hindraf, P Waythamoorthy dalam satu kenyataan hari ini.

“Disebabkan laporan polis sudah dibuat terhadapnya, biarlah polis menjalankan tugas mereka secara bebas tanpa campur tangan dan tekanan daripada mana-mana pihak.”

Selepas membakar keratan gambar Zaid, Jamal semalam tampil dengan tukul dan mengugut akan memecahkan kepala ahli DAP itu, jika tiada tindakan diambil pihak berkuasa terhadapnya kerana mengkritik Sultan Selangor.

Waythamoorthy berkata, Zaid sentiasa menjadi pengkritik lantang terhadap sebarang bentuk ketidakadilan, termasuk ekstremisme kaum atau agama dan peranan kerajaan.

“Setiap rakyat Malaysia perlu menghargai individu seperti Zaid yang bersuara untuk kepentingan lebih besar dan hak rakyat serta negara. Oleh itu, menjadi kewajipan kami untuk menunjukkan solidariti dengannya.”

Kontroversi tercetus apabila Zaid melalui Twitternya “menasihatkan” Sultan Selangor kerana mengkritik Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad didorong “kebencian mendalam” dan “kemarahannya akan membakar seluruh negara”.

Zaid dalam catatan Twitternya berkata: “Sultan Selangor seharusnya lebih berhati-hati dengan kata-katanya. Tiada siapa yang kebal apabila negara terbakar.”

Sultan Sharafuddin Idris Shah kemudiannya dilaporkan berkata, kenyataannya mengenai Dr Mahathir sengaja dijadikan bahan politik oleh Zaid.

“Dia duduk di Selangor, baliklah Kelantan kalau tak setuju, buat rumah besar-besar dan tolong rakyat Kelantan. Jangan cari rezeki di Selangor.”

Waythamoorthy berkata, Hindraf terkejut kerana tiada tindakan diambil polis yang mendiamkan diri dan boleh ditafsirkan sebagai kelulusan tersirat terhadap ugutan Jamal.

Katanya, ia menjadi semakin jelas yang pemimpin Umno tidak berdisiplin itu seolah-olah terkecuali daripada tindakan undang-undang.

“Ada yang tertanya-tanya ke mana arah tuju negara ini dengan sikap polis sedemikian.”

http://www.freemalaysiatoday.com/category/highlight/2017/12/08/jamal-ugut-pecahkan-kepala-zaid-dengan-tukul/