Isu Baitulmaqdis: Pendirian Malaysia tak jejas hubungan dengan AS

najib-baitulmaqdis1KUALA LUMPUR: Hubungan Putrajaya dengan Washington mungkin tidak terjejas dengan keputusan Amerika Syarikat (AS) mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana menteri berkata, Malaysia masih boleh bekerjasama dengan AS dalam pelbagai aspek, tetapi tidak akan berkompromi dengan AS dalam soal kedaulatan agama Islam.

“Hubungan kita dengan AS bersifat multidimensi dan ada banyak aspek lain kita boleh bekerjasama, tetapi dalam hal ini (pengiktiraf Baitulmaqdis), kita berpegang kepada prinsip kita tidak boleh terima perkara itu sama sekali,” katanya pada sidang media selepas selesai Perhimpunan Agung Umno ke-71 hari ini.

Rabu lalu, Presiden Donald Trump mengisytiharkan Kedutaan AS akan dipindahkan dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis, dalam langkah untuk mengiktiraf kota suci kepada 3 agama itu sebagai milik Israel.

Tindakan itu mencetuskan protes besar-besaran di seluruh dunia, termasuk di Malaysia yang disertai ribuan orang berkumpul di luar Kedutaan AS di Jalan Tun Razak, semalam.

Mengulas lanjut, Najib berkata, tindakan AS itu juga tidak diterima negara Islam lain, malah banyak negara bukan Islam turut menyuarakan pendirian sama.

“Bukan sahaja orang Islam, orang Kristian pun tidak senang hati dengan pengumuman itu dan negara Eropah juga hampir semua tidak setuju dengan keputusan tersebut.”