Jamal ditahan akibat ugut pecahkan kepala Zaid

jamalPETALING JAYA: Datuk Seri Jamal Yunos ditahan hari ini selepas mengugut bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim, lapor The Star.

Ketua Umno bahagian Sungai Besar itu ditahan ketika menghadiri Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra dan beliau tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi kira-kira 9.25 malam tadi dengan tangan bergari.

“Saya ditahan polis dan akan dibawa ke IPD Dang Wangi. Ia berkaitan isu Zaid Ibrahim,” katanya menerusi mesej WhatsApp yang dihantar kepada rakan dan penyokongnya sejurus beliau ditahan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Shaharudin Abdullah dipetik akhbar itu berkata, Jamal akan disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan (sengaja mengaibkan dengan niat hendak memecahkan keamanan) dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil kerana menghina.

Sementara itu, penasihat undang-undang Gabungan NGO 1Malaysia, Datuk Mohd Imran Tamrin dipetik Bernama berkata, selain Jamal, 3 individu lain turut dipanggil bagi membantu siasatan.

“Setakat malam ini, Jamal hanya ditahan bagi diambil keterangan dan sekiranya perlu, urusan reman akan dilakukan pagi esok.”

Semalam, Jamal mengugut akan memecahkan kepala Zaid, jika tiada tindakan diambil pihak berkuasa terhadapnya kerana mengkritik Sultan Selangor.

Ia selepas tindakan Jamal membakar keratan gambar Zaid Rabu lalu, susulan kenyataan ahli DAP itu yang didakwanya mengguris hati Sultan Selangor serta rakyat negeri itu.

Selasa lalu, Zaid menegur Sultan Sharafuddin Idris Shah yang dilaporkan berkata, agenda politik Tun Dr Mahathir Mohamad didorong “kebencian mendalam” dan “kemarahannya akan membakar seluruh negara”.

Zaid dalam catatan Twitternya berkata: “Sultan Selangor seharusnya lebih berhati-hati dengan kata-katanya. Tiada sesiapa yang kebal apabila negara terbakar.”

Semalam, Sultan Selangor dilaporkan mendakwa kenyataannya mengenai Dr Mahathir sengaja dijadikan bahan politik.

“Dia (Zaid) duduk di Selangor, baliklah Kelantan kalau tak setuju, buat rumah besar-besar dan tolong rakyat Kelantan. Jangan cari rezeki di Selangor,” kata Sultan Sharafuddin dalam wawancara bersama Utusan Malaysia.

Jamal ugut pecahkan kepala Zaid dengan tukul