Najib puji Zahid tak mudah lupa kawan

Najib puji Zahid tak mudah lupa kawan

Perdana menteri berkata, beliau pernah membantu Zahid pada 1988 daripada tentangan pucuk pimpinan bahagian ketika beliau menjadi ketua Pemuda Umno Bahagian Bagan Datuk.

najib-zahid-3
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak hari ini memuji timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mengutamakan semangat setia kawan dengan mempertahankannya 2 tahun lalu.

“Dua tahun lalu, timbalan saya pada masa tu buat angkara pula. Zahid tampil ke hadapan, dia pertahankan saya. Sebab itu Umno pulih dengan kekuatan yang baru,” kata perdana menteri dalam ucapan penggulungan Perhimpunan Agung Umno ke-71 hari ini.

Najib pada 28 Julai 2015 mengumumkan pelantikan Zahid sebagai timbalan perdana menteri bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang digugurkan daripada barisan Kabinetnya.

Ia disusuli pengumuman Zahid yang merupakan naib presiden memangku tugas timbalan presiden Umno, selepas Muhyiddin dipecat parti itu pada 24 Jun 2016 kerana melanggar disiplin parti, selepas mengkritik Najib secara terang-terangan berhubung kontroversi 1MDB.

Mengulas lanjut, Najib berkata, beliau pernah membantu Zahid pada 1988 ketika beliau menjadi ketua Pemuda Umno Bahagian Bagan Datuk (dahulu dieja Bagan Datoh).

Presiden Umno itu berkata, Zahid meminta bantuannya ketika pemilihan Umno bahagian Bagan Datuk.

“Pada 1988, masa tu ketua Pemuda Bagan Datoh ditekan dengan begitu dahsyat oleh pimpinan bahagian Bagan Datoh ketika itu.

“Dan saya diminta Zahid tolong pergi rasmi bahagian Pemuda Bagan Datoh, saya beranikan diri. Saya tahu pimpinan betul-betul menentang, saya tak kisah. Saya kata apa nak jadi, jadilah, saya tetap pertahan.

“Saya telah beritahu secara terbuka, akhirnya Zahid menang. Tahu majoriti berapa? 11 undi. Kebetulan nombor bertuah saya. Zahid tak mudah lupa kawan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.