
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata pihak suruhanjaya ada menerima laporan terhadap portal tersebut.
“Jika ia langgar akta yang ada, sudah tentu kita akan buat siasatan dan kita akan beri laporan pada pihak yang berkenaan ambil tindakan seterusnya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Dagangan Putra Dunia (PWTC).
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan seorang wakil Umno Pulau Pinang menggesa pihak berkuasa menyiasat portal berita itu.
Mohd Nashrol Hisham Abdullah dari Umno Bahagian Tasek Gelugor berkata, carian di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menemui nama pengarah syarikat tersebut.
“Ada satu portal yang hina pemimpin kita, yang hina kerajaan kita, yang menyerang pemimpin kita, perdana menteri kita, presiden kita.
“Pihak berwajib jangan bagi ini berlaku, cari sampai lubang cacing. Jangan biar perkara ini berlaku kerana hina pemimpin kita,” katanya.
Kementerian Komunikasi dan Multimedia pada Ogos berkata kerajaan dalam peringkat akhir penyediaan kertas kerja cadangan pendaftaran portal berita termasuk portal pro-pembangkang, sebelum dibentangkan kepada peguam negara.
Salleh berkata, tujuan pendaftaran itu bagi memastikan semua portal berita lebih bertanggungjawab terhadap setiap laporan yang dibuat selain memastikan koordinasi pembangunan media atas talian teratur.
Dalam perkembangan lain, Salleh berkata SKMM akan bekerjasama dengan polis untuk menyiasat kenyataan Datuk Zaid Ibrahim.
“Sudah tentu, jika undang-undang telah dilanggari tindakan akan diambil sewajarnya,” katanya mengulas gesaan Ketua Umno Sungai Besar Datuk Md Jamal Yunos yang mahu SKMM ambil tindakan terhadap Zaid.