
Khairy, yang menyertai ribuan orang menunjuk perasaan di kedutaan AS semalam, menyifatkan gesaan itu sebagai mengarut kerana pengumuman mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel dari Presiden Donald Trump sendiri.
“Agak mengarut kerana kenyataan itu dari presiden AS,” katanya kepada pemberita di Pusat Dagangan Dunia Putra.
“Tiada guna berspekulasi mengenai motif geopolitik sedangkan sudah jelas kenyataan dibuat oleh presiden negara tertentu dan kita pergi ke kedutaan negara itu untuk serah memorandum.”
Dua hari lalu, Pengarah Islamic Renaissance Front (IRF) Datuk Dr Ahmad Farouk Musa berkata umat Islam sepatutnya menyasarkan kemarahan terhadap Arab Saudi kerana negara itu bukan sahaja sekutu tegar Presiden Donald Trump di Timur Tengah, tetapi juga membolehkan AS untuk mengumumkan keputusan itu walaupun dibantah masyarakat antarabangsa.
“Trump tidak akan membuat pengumuman sebegini melainkan dia ada penyokong di rantau Timur Tengah. Saya percaya semua orang tahu cerita Mohammed bin Salman (MBS),” katanya kepada FMT, merujuk putera mahkota Arab Saudi yang dilihat bakal menaiki takhta.
“Akhbar The New York Times melaporkan berdasarkan pelbagai sumber bahawa Putera Mahkota Arab Saudi itu memberitahu Mahmoud Abbas (presiden Pihak Berkuasa Palestin) untuk menerima keputusan itu.
“Abbas diberitahu MBS untuk memberi laluan kepada pemimpin lain jika dia tidak akur,” kata Dr Farouk.
Israel menganggap Baitulmaqdis yang menjadi tuan rumah kepada kawasan-kawasan suci bagi orang Islam, Kristian dan Yahudi, sebagai ibu negara mutlak.
Namun negara Barat tidak pedulikan seruan Israel menyeru mereka memindahkan kedutaan ke Baitulmaqdis, kerana khuatir tindakan itu akan merumitkan lagi krisis di Timur Tengah dan rancangan perdamaian untuk Palestin.
Pengumuman Trump itu membelakangkan dasar berdekad lama yang tidak mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel. Perkembangan itu menyusuli pakatan antara Trump dan sekutu negara-negara Arab termasuk Arab Saudi, yang mengepalai pakatan anti-pengganas di rantau Teluk.