Zaid tweet Sultan Selangor: 7 NGO buat laporan polis

ngo-zaid-sultan-selangorKUALA LUMPUR: Tujuh badan bukan kerajaan (NGO) hari ini menggesa polis mengambil tindakan ke atas ahli DAP, Datuk Zaid Ibrahim yang didakwa mengeluarkan kenyataan mempersoalkan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

NGO berkenaan ialah Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Kelab Ahli Parlimen Belia Malaysia Selangor, Persatuan Komuniti Persahabatan Ampang, Persatuan Peniaga dan Penjaja Kecil Bukit Ampang Saujana, Persatuan Kebajikan San Chuan Cheras, Pertubuhan Pribumi Perkasa Pandan dan Persatuan Pengusaha dan Peniaga Kawasan Perindustrian Hata Pandan Mewah.

Presiden Pertubuhan JMM Datuk Azwanddin Hamzah berkata tindakan Zaid dianggap terlampau biadap serta cuba menghasut pemikiran rakyat negara ini.

“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku… kenyataan itu juga dilihat mendorong rakyat Malaysia untuk bersikap biadap terhadap Sultan. Selagi beliau tidak ditahan, kami akan terus buat laporan polis.

“Jika Zaid cuba untuk lakukan perkara sebegini lagi, JMM tidak teragak-agak untuk terus berjumpa dan berhimpun di depan rumah beliau,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan polis terhadap Zaid di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, hari ini.

Zaid menerusi akaun Twitternya pada Selasa lalu mempertikaikan titah Sultan Sharafuddin yang antara lainnya menegur bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung kenyataan menghina Bugis.