Turki, Perancis cuba pujuk AS pertimbang iktiraf Baitulmaqdis

emmanuel

ISTANBUL: Presiden Turki dan Perancis akan bekerjasama untuk cuba memujuk Washington mempertimbangkan semula keputusannya mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Seorang sumber presiden Turki pada Sabtu berkata, Recep Tayyip Erdogan dan Emmanuel Macron dalam satu panggilan telefon bersetuju akan bekerjasama cuba menerbalikkan keputusan Amerika Syarikat (AS) itu yang membimbangkan rantau berkenaan.

Sumber itu berkata, Erdogan turut menelefon presiden Kazakhstan, Lubnan dan Azerbaijan pada Sabtu berhubung isu itu.

Rabu lalu, Erdogan menggesa mesyuarat tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) diadakan di Turki, minggu depan.

Pengumuman Presiden Donald Trump pada Rabu lalu mengecewakan sekutu AS di Barat.

Perancis, Itali, Jerman, Britain dan Sweden melalui Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menggesa AS “mengemukakan cadangan terperinci untuk penyelesaian isu Israel dan Palestin”.

Penduduk Palestin mengadakan protes susulan keputusan Washington. Demonstrasi turut diadakan di Iran, Jordan, Tunisia, Somalia, Yaman, Malaysia dan Indonesia, serta di luar Kedutaan AS di Berlin.

Status Baitulmaqdis merupakan satu daripada halangan terbesar dalam perjanjian damai antara Israel dan Palestin selama beberapa generasi.

Perancis merupakan satu daripada penyokong Palestin. Pada 2014, Dewan Negaranya meluluskan usul menggesa kerajaan mengiktiraf Palestin, namun kerajaan tidak melakukannya secara rasmi.

Paris pernah menyuarakan pendiriannya yang penyelesaian dua negara memerlukan pengiktirafan Palestin sebagai sebuah negara berdaulat.

Trump secara rasmi iktiraf Baitulmaqdis ibu negara Israel