Umno Selangor cabar DAP pecat Zaid Ibrahim

Pengerusi Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar ketika berucap dalam Himpunan Daulat Tuanku di Dataran Mayang, Flat PKNS, Shah Alam
Pengerusi Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar ketika berucap dalam Himpunan Daulat Tuanku di Dataran Mayang, Flat PKNS, Shah Alam

SHAH ALAM: Umno Selangor hari ini mencabar DAP memecat keahlian Datuk Zaid Ibrahim yang didakwa bertindak biadab kerana mengkritik Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar berkata, desakan itu bagi membuktikan bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu bukan kuda tunggangan DAP.

“Kita nak cabar kalau DAP mengatakan Zaid Ibrahim betul, tidak ada kena-mengena dengan DAP, kita cabar DAP ambil tindakan dengan pecat Zaid Ibrahim.

Sepanduk gambar Datuk Zaid Ibrahim dibawa oleh peserta Himpunan Daulat Tuanku
Sepanduk gambar Datuk Zaid Ibrahim dibawa oleh peserta Himpunan Daulat Tuanku

“DAP bijak, yang jadi kuda tunggangan ini ialah orang-orang Melayu, pemimpin Melayu.

“Pemimpin Melayu sebabkan rakyat marah, DAP akan cuci tangan. Jangan cakap tak serupa bikin,” katanya dalam Perhimpunan Daulat Tuanku di Dataran Mayang, Flat PKNS di Seksyen 16.

Lebih 500 peserta yang tiba dengan 10 bas, memakai baju merah tertera Daulat Tuanku dan membawa sepanduk “Barua DAP Biadap”, “Zaid Ibrahim biadap hina Sultan Selangor”, “Tolak Zaid Ibrahim”, “Mana Azmin, MB Tak Guna” serta “Zaid dan Tun Mahathir Pengkhianat Agama Bangsa”.

Selasa lalu, Zaid menegur Sultan Selangor yang dilaporkan berkata, agenda politik Tun Dr Mahathir Mohamad didorong “kebencian mendalam” dan “kemarahannya akan membakar seluruh negara”.

Antara peserta yang hadir dalam Himpunan Daular Tuanku
Antara peserta yang hadir dalam Himpunan Daulat Tuanku

Zaid dalam catatan Twitternya berkata: “Sultan Selangor seharusnya lebih berhati-hati dengan kata-katanya. Tiada sesiapa yang kebal apabila negara terbakar.”

Semalam, Sultan Sharafuddin dilaporkan mendakwa kenyataannya mengenai Dr Mahathir sengaja dijadikan bahan politik.

“Dia (Zaid) duduk di Selangor, baliklah Kelantan kalau tak setuju, buat rumah besar-besar dan tolong rakyat Kelantan. Jangan cari rezeki di Selangor,” kata Sultan Sharafuddin dalam wawancara bersama Utusan Malaysia.

Noh berkata, pihaknya akan menghantar satu deklarasi merangkumi 4 tuntutan ke Istana Bukit Kayangan, Shah Alam dalam masa terdekat.

Menteri kesejahteraan bandar, perumahan dan kerajaan tempatan itu menuntut Zaid dan Dr Mahathir memohon maaf secara terbuka kepada Sultan Selangor.

“Kedua, kerajaan Selangor tidak membenarkan Zaid dan Dr Mahathir berucap di mana-mana kawasan dan premis kerajaan negeri.

“Ketiga, polis tidak mengeluarkan sebarang permit untuk Zaid dan Dr Mahathir berucap di mana-mana perhimpunan dan pentas politik di Selangor.

“Keempat, polis perlu menyiasat dan mengambil tindakan terhadap Zaid dan Dr Mahathir di bawah Akta Hasutan atau mana-mana akta berkaitan.”

Beliau turut mewakili rakyat Selangor menyuarakan sokongan penuh kepada kedaulatan institusi raja Melayu selaras Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor 1959.