Saya banyak kawan, yang tak ada cuma sekutu politik, kata Zaid

Zaid-Ibrahim_rakyat_600

PETALING JAYA: Datuk Zaid Ibrahim berkata beliau memahami terdapat topik yang dianggap tergolong sebagi “ruang hitam” yang tidak berani disentuh ahli politik terutama menjelang musim pilihan raya, tetapi percaya ia perlu ditangani demi kebaikan negara.

Bekas menteri yang diserang pelbagai pihak selepas diselar Sultan Selangor kerana memuat naik kritikan terhadap pihak istana, berkata beliau menerima realiti akan didakwa di bawah Akta Hasutan tetapi berkata akan tetap bersuara.

“Saya percaya Malaysia yang lebih baik akan hanya dizahirkan apabila pemimpin tidak takut berdepan dengan ‘ruang hitam’ ini,” katanya dalam kiriman di blognya.

Selasa lalu, Zaid menegur Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kerana menuduh Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai seorang yang memiliki “kebencian mendalam” dan yang akan “membakar seluruh negara”.

Zaid dalam catatan Twitternya berkata: “Sultan Selangor seharusnya lebih berhati-hati dengan kata-katanya. Tiada sesiapa yang kebal apabila negara terbakar.”

Ia disusuli Sultan Sharafuddin menyerang Zaid dan mendakwa ahli DAP itu sengaja memutar belit kanyataannya untuk kepentingan politik.

“Dia (Zaid) duduk di Selangor, baliklah Kelantan kalau tak setuju, buat rumah besar-besar dan tolong rakyat Kelantan. Jangan cari rezeki di Selangor,” kata Sultan Sharafuddin dalam wawancara bersama Utusan Malaysia.

Walaupun Zaid menjadi sasaran Umno yang mengadakan protes mengutuknya semalam, beberapa pemimpin pembangkang dilihat cuba menjauhkan diri darinya.

Zaid berkata apa yang dilakukannya bukan demi Dr Mahathir, tetapi untuk rakyat.

“Saya cuma mengangkat prinsip dalam sistem kerajaan kita, bahawa raja berpelembagaan tidak membuat keputusan politik dan pentadbiran,” katanya.

Mengenai reaksi dingin terhadapnya oleh pemimpin DAP, Zaid berkata beliau memahaminya, sambil menambah beliau juga tidak menyalahkan pemimpin Pakatan Harapan yang tidak bersuara membelanya.

“Kini saya tahu saya punyai kawan dan penyokong. Saya cuma kekurangan sekutu politik. Orang ramai tak putus-putus menghantar mesej menyatakan kebimbangan terhadap keselamatan saya dan keluarga saya.”

Zaid turut menjawab kenyataan bekas seteru politiknya ketika berada dalam PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, yang mempersoalkan komen Zaid yang mengundang kecaman Sultan.

Menteri besar Selangor itu sebelum ini berkata Zaid perlu menjelaskan komennya kepada rakyat.

“Dia faham sepenyhnya twit saya dan keadaan dan konteks ia dibuat, dia boleh turut serta saya dalam road show,” kata Zaid.