Warisan raih simpati dakwa dianiaya, kata PBS

Christopher-Mandut-1KOTA KINABALU: Seorang pemimpin Parti Bersatu Sabah (PBS) hari ini menafikan dakwaan Parti Warisan Sabah (Warisan) bahawa pemimpin partinya dianiaya kerajaan persekutuan kerana berjuang untuk hak rakyat Sabah.

Sebaliknya, Pemangku Ketua Pemuda PBS, Christopher Mandut berkata ia merupakan taktik Warisan untuk mendapat simpati daripada rakyat.

“Saya rasa ia terlalu mudah baginya untuk berkata segala-galanya bermotifkan politik, seolah-olah jika Warisan tidak memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU14), seperti yang mereka janjikan kepada penyokong, maka itu adalah salah kerajaan atau SPRM,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pemuda Warisan, Mohd Azis Jamman yang mendakwa kerajaan persekutuan sentiasa menggunakan agensi seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuan Malaysia (SPRM) untuk menjatuhkan pemimpin Sabah dan Sarawak yang bangkit memperjuangkan hak rakyat di negeri Borneo.

Mandut berkata Azis sengaja mengalihkan perhatian rakyat daripada kes rasuah dan meletakkan dirinya, serta pemimpin Warisan lain, pada tahap yang sama sebagai pemimpin besar pada masa lalu.

“SPRM hanya menjalankan tugasnya. Selain itu, agensi tersebut bukan sahaja menyiasat pemimpin Warisan tetapi mereka juga menyiasat pihak yang mungkin terlibat dalam kes yang mereka siasat,” katanya.

“Jika ia benar-benar menganiaya Warisan, maka pemimpin dari parti pemerintah Barisan Nasional (BN) juga tidak akan terlepas. Hakikatnya, agensi anti-rasuah itu tidak akan melepaskan pemimpin BN daripada siasatan mereka.”

Azis, Presiden Warisan Datuk Seri Shafie Apdal dan Naib Presiden Warisan Peter Anthony, ditahan dan direman SPRM pada Oktober dalam siasatan ke atas dakwaan penyelewengan dana bernilai RM1.5 bilion bagi projek luar bandar di Sabah antara 2009 dan 2015.

Ketiga-tiga mereka dibebaskan dengan jaminan.

Parti pembangkang Sabah itu mendakwa penyiasatan itu bermotifkan politik untuk menghancurkan imej Warisan menjelang PRU14, tetapi Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan SPRM menafikan tuduhan itu, menegaskan agensi itu beroperasi secara bebas.

Mandut berkata siasatan SPRM bukan sahaja melibatkan Warisan tetapi juga Umno.

“Itu membuktikan ia adalah usaha tulen untuk menyelesaikan isu tersebut,” katanya.