Guan Eng: Melayu takkan jadi ‘bangsat’ kerana sokong PH

lim-guan-engGEORGE TOWN: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng hari ini menepis dakwaan Datuk Seri Najib Razak kononnya orang Melayu akan menjadi “bangsat” jika pembangkang memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Lim berkata, tema “Cina DAP” pada Perhimpunan Agung Umno minggu lalu dan penggunaan “taktik menakut-nakutkan” menunjukkan Barisan Nasional (BN) terdesak serta sedar mereka mungkin kalah pada PRU14.

“Tiada rakyat Malaysia, apatah lagi orang Melayu yang akan menjadi ‘bangsat’ jika Pakatan Harapan menang. Tambahan, rakyat Malaysia akan mempunyai masa depan cerah tanpa rasuah, kronisme serta cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

“Masa depan Malaysia akan dirompak rasuah, kroni dan penyokong GST, jika BN menang. Mereka akan lakukannya dengan menipu, merasuah dan mengugut demi kekal berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lim merujuk kenyataan Najib pada Perhimpunan Agung Umno ke-71 minggu lalu yang mendakwa orang Melayu akan kehilangan hak istimewa mereka jika pembangkang berkuasa.

Ketua menteri Pulau Pinang itu turut kecewa dengan tindakan Umno mempergunakan masyarakat Cina untuk menakut-nakutkan orang Melayu.

“Ini kali pertama Umno menyerang DAP menggunakan perkataan ‘Cina DAP’ yang merupakan tema politik, perkauman mengejutkan yang secara tidak langsung menyerang masyarakat Cina.

“DAP tidak pernah menyerang Umno dengan memanggil mereka ‘Melayu Umno’, atau PAS sebagai ‘orang Islam PAS’.

“Kenapa kamu perlu mengkritik seluruh masyarakat demi kepentingan politik kamu?

“Apa yang membimbangkan ialah perdana menteri sendiri mengeluarkan ancaman dalam bentuk laungan perang yang dipenuhi kebencian dan ketakutan.”