Kebocoran data 46.2 juta pengguna adalah data 2014

Jailani-JohariKUALA LUMPUR: Kebocoran data peribadi 46.2 juta pelanggan nombor telefon mudah alih yang dilaporkan 18 Oktober lepas melibatkan kebocoran data tahun 2014 dan bukannya data terkini, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Jailani Johari.

Beliau berkata siasatan telah dijalankan melibatkan polis, Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) dan Jabatan Perlindungan Data Peribadi mengikut Seksyen 4, Akta Jenayah Komputer 1997 (Akta 563) dan Seksyen 130, Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709).

“Masih terlalu awal untuk disimpulkan dalang sebalik insiden yang berlaku. Pihak polis telah memanggil saksi-saksi yang dikenal pasti untuk diambil keterangan.

“Antara saksi yang dipanggil untuk diambil keterangan ialah pengendali laman web lowyat.net, jobstreet.my, syarikat-syarikat telekomunikasi (telco), Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan mana-mana individu dipercayai dapat membantu siasatan,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab solan Senator S Chandra Mohan yang ingin tahu hasil siasatan insiden kebocoran data peribadi 46.2 juta pelanggan telefon mudah alih baru-baru ini.

Jailani berkata SKMM juga telah menghubungi setiap syarikat telco mengenai kejadian itu dan telah mengarahkan supaya memeriksa setiap transaksi sistem bagi memastikan tiada penggodaman atau kebocoran maklumat berlaku.