Keluarga remaja Belanda jatuh bangunan persoal siasatan polis Malaysia

Keluarga remaja Belanda jatuh bangunan persoal siasatan polis Malaysia

Kedutaan Belanda di Kuala Lumpur menghubungi Interpol untuk menjalankan siasatan selepas beberapa persoalan ditimbulkan berhubung kematian Ivana Smit.

Ivana-Smit-siasatan-polis
PETALING JAYA: Kecewa dengan siasatan dilakukan oleh polis Malaysia, keluarga seorang remaja wanita warga Belanda yang mayatnya dijumpai dalam keadaan bogel di sebuah pangsapuri di Kuala Lumpur minggu lalu menggesa campur tangan Interpol melalui kedutaan Belanda di Malaysia.

Portal berita Belanda, Dutch News, memetik Marcel Smit, ayah kepada Ivana Smit, 18 yang jatuh dari tingkat 20 bangunan di Jalan Dang Wangi, mempersoalkan polis yang menganggap kematian itu sebagai kemalangan, dan berkata siasatan perlu tertumpu terhadap pasangan warga Amerika Syarikat yang bersama Ivana sebelum insiden itu.

Polis sebelum ini berkata Ivana mati disebabkan pengaruh alkohol dan dadah.

Bagaimanapun, Marcel berkata beliau terlihat kesan biru menyerupai cap jari di leher anaknya.

Ivana, seorang model, dikatakan menghantar gambar selfi kepada kekasihnya pada jam 7.25 pagi, dan memberitahu beliau keletihan dan mahu pulang ke rumah pasangan Amerika.

Dia dipercayai terjatuh dari bangunan pada jam 10 pagi. Rakaman kamera di bangunan itu menunjukkan Ivana tiba di apartment tersebut pada 5.00 pagi.

Marcel bagaimanapun mempersoalkan mengapa warga Amerika itu hanya menghubungi polis pada jam 3.00 petang, 5 jam selepas insiden itu dipercayai berlaku.

Malah, dia mendakwa jiran memberitahu mereka terdengar bunyi bising orang bergaduh pada awal pagi.

“Polis tidak berbuat apa-apa mengenai maklumat iu dan hanya mahu menutup kes,” katanya kepada Dutch News.

“Anehnya, pasangan Amerika itu juga tidak berbuat apa-apa melihatkan pakaian Ivana yang masih berada di pangsapuri mereka.”

Bapa saudara Ivana, Fred Agenjo, pula berkata siasatan polis tidak lengkap dan banyak persoalan masih belum dijawab.

“Pakaiannya ditemui, tetapi bukan kasut dan seluar dalamnya. Polis masih belum memeriksa telefonnya. Polis enggan berkata sama ada dia masih hidup ketika dadah memasuki sistemnya. Polis juga enggan mengatakan sama ada terdapat kesan hubungan seks.

“Kami mahu siasatan menyeluruh. Sekiranya didapati ia adalah kemalangan or tindakan melulu oleh Ivana, kami boleh menerimanya,” kata Fred.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.