‘Pingat diberikan sultan boleh dipulangkan juga’

marina-mahathir-hasmah2PETALING JAYA: Datin Paduka Marina Mahathir menyokong tindakan ibu bapanya memulangkan pingat yang dianugerahkan Sultan Selangor kepada pihak istana minggu lalu, tetapi beliau tidak berhasrat mengikut jejak mereka.

“Pingat diberikan, pingat juga boleh dipulangkan,” kata anak sulung Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Dr Siti Hasmah Ali.

Katanya, tiada alasan untuk beliau memulangkan Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Selangor yang dianugerahkan Sultan Selangor pada 1999.

“Saya tidak berbalah dengan Sultan Selangor. Jadi, tiada alasan kecuali baginda menuntutnya. Ayahandanya yang beri kepada saya,” katanya kepada FMT hari ini.

Dr Mahathir dan isterinya dilaporkan mengembalikan darjah kebesaran kepada Sultan Selangor, Khamis lalu, dipercayai berpunca daripada kenyataan bekas perdana menteri itu menyentuh etnik Bugis ketika mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ia disusuli siri kritikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang membidas Dr Mahathir dalam beberapa wawancara dengan akhbar tempatan.

Pengerusi Pakatan Harapan itu menerima Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) kelas pertama, iaitu pingat yang hanya dianugerahkan kepada 2 individu pada satu-satu masa, daripada Sultan Selangor terdahulu, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 1978.

Beliau juga menerima Darjah Kebesaran Yang Amat Dihormati Kelas Pertama (DK) daripada Sultan Sharafuddin sebulan sebelum bersara sebagai perdana menteri pada 2003.

Pingat yang dikembalikan Dr Siti Hasmah pula diterimanya daripada Sultan Selangor pada 1983 dan 1994, iaitu Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Selangor dan Seri Paduka Mahkota Selangor.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/12/12/istana-selangor-dalam-proses-batalkan-pingat-dr-m-dan-isteri/