Pulang pingat kerana saya tidak layak, kata Dr Mahathir

Pulang pingat kerana saya tidak layak, kata Dr Mahathir

Pengerusi Pakatan Harapan tidak mahu mengulas sama ada beliau akan memulangkan pingat kebesaran yang diberi Sultan Johor.

mahathir-sultan-selangor2
PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata keputusan memulangkan pingat kebesaran yang dianugerahkan Istana Selangor kerana beliau menganggap tidak lagi layak menyimpannya.

Bekas perdana menteri berkata oleh kerana Sultan Sharafuddin Idris Shah menganggap beliau akan “membakar negara dengan api kemarahannya”, maka dengan sendiri beliau tidak lagi layak menyandang gelaran kebesaran negeri itu.

“Saya fikir Sultan Selangor merasakan saya tak layak untuk terima anugerah berkenaan. Kalau saya nak terima mestilah sebab saya layak tapi sekarang saya dikatakan akan membakar seluruh negara, jadi saya fikir saya sudah tidak layak lagi,” kata beliau selepas mempengerusikan sidang media Pakatan Harapan di ibu pejabat PKR hari ini.

Semalam media melaporkan Dr Mahathir dan isterinya menyerahkan semula anugerah kebesaran yang diterima daripada Sultan Selangor sebelum ini pada Khamis.

Pingat tersebut diserahkan selepas Dr Mahathir sekali lagi dikritik Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam wawancara yang diterbitkan The Star dan Utusan Malaysia.

Sementara itu pihak istana Selangor menyatakan Sultan Sharafuddin berkenan menerima pemulangan berkenaan tanpa sebarang halangan.

Bagaimanapun Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu tidak mahu mengulas sama ada beliau akan menyerahkan pingat kebesaran yang dianugerahkan Istana Johor, kerana beliau juga pernah dikritik Sultan Johor sebelum ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.