Rafizi sedia mohon maaf kepada Raslan tapi bukan Rahman Dahlan

rafizi-rahman-raslanKUALA LUMPUR: Naib Presiden PKR Rafizi Ramli bersedia memohon maaf kepada Raslan Dahlan selepas mendakwa individu berkenaan abang kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Rafizi sebelum ini mempertikaikan pemberian tender penganjuran Expo Negaraku 2017 di bawah Unit Perancang Ekonomi (UPE) kepada syarikat yang mana Raslan pemegang sahamnya. Rafizi didapati tidak memuatnaik video “pendedahan” projek Expo Negaraku 2017 selepas Raslan didapati bukan abang kepada Rahman.

“Saya minta maaf kepada Raslan tapi bukan Rahman Dahlan. Rahman sepatutnya minta maaf kepada rakyat sebab dia tidak buat kerja…harga barang naik tapi sibuk buat expo,” kata Rafizi pada sidang media di ibu pejabat Invoke di Sungai Besi hari ini.

Rafizi bertegas tidak akan memohon maaf kepada menteri itu kerana tender projek Expo Negaraku 2017 tidak dilakukan secara telus.

“Rahman Dahlan kalau tak puas hati pasal itu saman saya. Tapi jangan lari dari perkara asas: siapa bayar, berapa jumlah dan kenapa tidak ada dalam sistem perolehan kerajaan,” katanya.

Beliau menambah “pendedahan” semalam bukan berbentuk tuduhan, sebaliknya dalam bentuk pertanyaan.

Expo Negaraku 2017 yang diadakan di Dataran Merdeka bermula 15 November hingga 15 Disember mempamerkan projek-projek kerajaan. Menurut Rafizi, projek penganjuran pameran itu mencecah puluhan juta ringgit.

Semakan FMT semalam mendapati video rakaman sidang media dan kenyataan media tidak dimuat naik di laman Facebook rasmi Rafizi seperti kebiasaannya.

“Rafizi ‘kantoi’ besar-besaran. Raslan Dahlan bukan abang saya. Rafizi berniat jahat,” kata Rahman semalam, dan menambah tidak mustahil naib presiden PKR itu akan berbohong hari ini selepas didapati memberikan maklumat tidak benar dalam pendedahan semalam.