Pusat jagaan orang tua terbakar tiada permit, kata PBT

pusat-jagaan-orang-tua-kajang-terbakarKAJANG: Polis masih lagi menyiasat punca kebakaran sebuah pusat jagaan rumah orang tua di Persiaran Sungai Long di sini yang mengorbankan 5 mangsa, kira-kira 5.00 pagi tadi.

Mangsa yang terkorban ialah Leow Chong Fah, 60, (lelaki) Kwan Sak Seen, 60, (lelaki), Teo Hoi Foo, 60, (wanita) dan Lai Sew Ying, 70 (wanita) manakala seorang lagi warden Awis Muhammad, 25, (lelaki).

Seorang mangsa lelaki yang terselamat berusia 70 tahun, dihantar ke Hospital Kajang untuk rawatan lanjut manakala 3 lagi warden berusia lingkungan 25 hingga 38 tahun tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata siasatan melibatkan unit Forensik Polis Diraja Malaysia dan Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat.

“Polis masih menyiasat sama ada premis ini ada permit operasi daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Pihak Berkuasa Tempatan,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian hari ini.

Menurut Ahmad Dzaffir pusat tersebut baru 2 bulan beroperasi.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi dan Penyelamat Bomba Selangor Mohd Sani Harul berkata kebakaran dipercayai bermula dari bahagian bawah sebelum mula merebak ke bahagian lain.

“Api dipercayai bermula di bahagian ruang tamu dan ketika kebakaran berlaku terdapat sembilan penghuni dalam pusat jagaan berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, ahli Majlis Perbandaran Kajang Lai Wa Chong berkata premis berkenaan tidak mempunyai permit untuk beroperasi daripada pihak berkuasa tempatan.

“Saya tidak pasti premis ini ada berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat atau tidak dan pihak saya sedang menyemak status permit rumah berkenaan,” katanya.

Saksi kebakaran, yang hanya mahu dikenali sebagai Shahrul, 50, melihat kebakaran itu ketika hendak menunaikan solat subuh di surau berdekatan.

“Saya nampak api kecil di rumah banglo itu tetapi selepas solat Subuh api telah marak dan saya lihat bomba sedang mencari punca air,” katanya.