Sultan puji bekas MB tanda istana kurang senang cara Azmin, kata BN

Mat-Nadzari-Ahmad-Dahlan-sultan-selangor-azmin-ali-malaysiaPETALING JAYA: Pujian Sultan Selangor kepada bekas menteri besar, Tan Sri Khalid Ibrahim boleh dianggap isyarat jelas pihak istana kurang senang dengan cara pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Azmin Ali, kata Barisan Nasional (BN).

Timbalan Pengerusi BN Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata, kenyataan Sultan Sharafuddin Idris Shah itu boleh disimpulkan pihak istana tidak suka cara berpolitik kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan, termasuk cara Khalid disingkirkan daripada jawatan menteri besar pada 2014.

“Khalid nampak lebih setia dan menjunjung sumpahnya semasa memegang lembing sang buana.

“Azmin lebih mirip berpegang kepada prinsip-prinsip Mahabharata dan John Locke, di mana semua orang adalah sama. Ini tidak sesuai dengan konsep raja berperlembagaan yang kita amalkan,” katanya kepada FMT.

Penyelaras adun BN Selangor itu mengulas laporan Sultan Selangor memuji kesetiaan Khalid dan terkejut dengan penyingkirannya 3 tahun lalu.

Sultan Sharafuddin turut menyifatkan penyingkiran Khalid sebagai episod paling mencabar dalam politik Selangor.

“Saya tidak percaya apa yang berlaku khasnya kepada Khalid. Beliau sangat setia dan tiba-tiba disingkirkan.

“Mungkin ada agenda tersembunyi, mungkin saya bukan ahli politik dan itu perkara yang saya tidak faham,” katanya kepada The Star sempena Hari Keputeraan ke-72.

Khalid menyertai Umno sekitar 1990-an sebelum melompat ke PKR sekitar 2000. Beliau dilantik sebagai menteri besar Selangor susulan kejayaan Pakatan Rakyat menawan negeri itu pada pilihan raya umum 2008.

Beliau bagaimanapun melepaskan jawatan menteri besar pada 26 Ogos 2014 susulan krisis dalaman parti reformasi itu, selepas dipecat daripada PKR kerana melanggar arahan parti untuk memberi laluan kepada Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menerajui Selangor.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/12/10/sultan-selangor-puji-khalid-ibrahim-mb-sangat-setia/