Sultan Selangor mahu tindakan tegas penceramah langgar peraturan tauliah

sultan_selangor_rakyat_600KLANG: Sultan Selangor hari ini mengingatkan pihak berkuasa supaya memastikan penceramah di negeri itu mendapat tauliah sebelum dibenarkan berceramah bagi memerangi penyebaran fahaman ekstremis dan liberalisme.

Sultan Sharafuddin Idris Shah turut menggesa pihak berkuasa memantau semua ceramah di negeri itu kerana masih ada imam dan nazir yang ingkar serta tidak mematuhi arahannya menyebabkan wujud ceramah menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar serta mengelirukan masyarakat Islam.

“Beta pernah dimaklumkan terdapat golongan tertentu di kalangan umat Islam yang terpesong daripada ajaran Islam sebenar sehingga menganggap pembunuhan yang dilakukan sesama manusia adalah satu jihad dituntut Allah.

“Fahaman dan ikutan sebegini amat berbahaya jika dibiarkan menular di kalangan umat Islam kerana ini boleh menyebabkan pembunuhan sesama umat Islam dan perpecahan umat Islam seperti yang berlaku di beberapa buah negara Teluk kebelakangan ini.

“Mais (Majlis Agama Islam Selangor) dan Jais (Jabatan Agama Islam Selangor) sebagai badan agama tertinggi di Selangor perlu sentiasa tegas di dalam mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang melanggar titah beta dan segala peraturan ditetapkan.”

Sultan Sharafuddin berkata demikian pada Istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan Ahli Mais bagi sesi 2018-2020 dan Majlis Santapan Tengah Hari Bersama Imam Masjid Diraja dan Seluruh Selangor di Istana Alam Shah, hari ini.

Sementara itu, Sultan Selangor mengingatkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) merujuk Mais terlebih dahulu sebelum melulus dan melaksanakan sebarang dasar berkaitan agama Islam.

Antara contoh dasar itu ialah pensijilan halal, zakat, pelaksanaan fatwa dan wakaf.

“Beta ingin mengingatkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia yang bertindak sebagai badan agama di peringkat persekutuan hanya berfungsi selaku agensi pusat yang berperanan untuk menyelaras perkara berkaitan agama Islam antara negeri-negeri di negara ini.”

Menurutnya, undang-undang berkaitan hal ehwal agama Islam di Selangor terletak sepenuhnya di bawah bidang kuasa dan pertimbangan beliau.

Sultan Selangor berkata, pegawai kerajaan pusat berkaitan Islam yang berkhidmat di Selangor perlu mematuhi semua dasar dan peraturan yang diputuskan Mais.

“Mereka juga perlu memberikan ketaatan dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada beta selaku ketua agama Islam di negeri ini sepanjang perkhidmatan mereka di Selangor, walaupun menerima gaji dan elaun daripada kerajaan persekutuan.”