Peguam Anwar dari AS sedia jumpa Nur Jazlan

Kimberley-MotleyPETALING JAYA: Peguam hak asasi manusia dari Amerika Syarikat, Kimberly Motley sedia menemui Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berhubung halangan untuk bertemu anak guamnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim di penjara.

Motley yang mewakili Anwar secara pro bono sejak 7 September lalu, memberitahu FMT beliau dibenarkan melawat Anwar di penjara pada kunjungan terakhirnya ke Malaysia sebagai pengiktirafan hak Anwar menemui peguamnya.

“Sayang sekali saya tidak berpeluang bertemu Nur Jazlan.

“Saya sudah berusaha mematuhi sistem perundangan Malaysia dan mengalu-alukan perbincangan dengannya untuk mengetahui apa yang perlu dilakukan untuk saya melawat Anwar.”

Sebelum ini, Motley mengkritik Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kerana menghalang beliau melawat Anwar di Penjara Sungai Buloh.

Semalam, Nur Jazlan membidas Motley kurang ajar, sombong dan bongkak kerana mengkritik peraturan penjara di Malaysia.

Motley berkata, beliau kecewa dengan tuduhan Nur Jazlan.

“Saya kecewa timbalan menteri dalam negeri menggunakan retorik fitnah terhadap saya ketika merujuk hak Anwar untuk berjumpa peguam antarabangsanya.”

Sebelum ini, Motley dan Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad mengeluarkan kenyataan menggesa Putrajaya mengkaji pembebasan segera Anwar.

Anwar, 70, dijatuhkan hukuman penjara 5 tahun kerana meliwat Mohd Saiful Bukhari di kondominium Desa Damansara, Bukit Damansara pada 26 Jun 2008.

Beliau sedang menjalani hukumannya di Penjara Sungai Buloh.

 

KDN: Peguam Anwar dari AS kurang ajar, sombong

Peguam AS bidas TPM kerana tidak benarkan bertemu Anwar