Saya tidak berjumpa orang asing, kata Nur Jazlan tepis peguam Anwar

jazlan2

PETALING JAYA: Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed hari ini menepis peguam Amerika Syarikat, Kimberley Motley, sebagai orang asing, selepas Motley menyuarakan hasrat mahu bertemu berkenaan halangan bertemu pemimpin pembangkang yang terpenjara, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Untuk apa? Tanya keluarga Anwar sama ada beliau dilantik sebagai peguam rasmi Anwar, dan apakah dia ada lesen mengamalkan undang-undang di Malaysia? Saya tidak berjumpa orang asing,” katanya kepada FMT.

Motley hari ini berkata beliau mahu bertemu Nur Jazlan selepas tidak diberi akses bertemu Anwar baru-baru ini.

Peguam hak asasi manusia itu mewakili Anwar atas dasar pro bono sejak 7 September, dan memberitahu FMT beliau dapat melawat anak guam di penjara dalam kunjungannya ke Malaysia sebelum ini, sebagai mengiktiraf hak Anwar mendapatkan khidmat nasihat undang-undang.

Namun kali ini beliau tidak dibenarkan bertemu Anwar, dan Motley mengkritik Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kerana halangan itu.

Nur Jazlan membidas Motley, mengelarnya “kurang ajar dan sombong” kerana mempersoalkan peraturan penjara Malaysia.

Pada 13 Disember lepas, Motley dan Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad mengeluarkan kenyataan menggesa Putrajaya membebaskan Anwar kerana “keluarga, kawan-kawan dan orang di serata dunia bimbang akan keadaan kesihatannya sekarang ini.”

Anwar, 70, menjalani hukuman penjara 5 tahun selepas disabitkan kesalahan liwat. Beliau berada di hospital untuk rawatan jangka masa panjang.