
Penyelidikan Persenjataan Konflik (CAR) berkata, kebanyakan senjata IS dicuri daripada tentera Iraq dan Syria, tetapi sesetengahnya dibekalkan negara lain, terutamanya AS dan Saudi kepada kumpulan pembangkang Syria yang menentang Presidennya, Bashar al-Assad.
“Penemuan ini ialah peringatan jelas tentang percanggahan bekalan senjata dalam konflik bersenjata, di mana pelbagai kumpulan bersenjata bukan kerajaan bersaing dan bertindan sedang beroperasi,” kata CAR dalam laporan 200 muka surat.
CAR merekodkan sekurang-kurangnya 12 kes senjata yang dibeli AS jatuh ke tangan IS, sama ada diambil di medan perang atau menerusi kumpulan pembangkang Syria yang mengubah pendirian dengan menyokong IS. Kebanyakan senjata itu akhirnya ditemui di Iraq.
Dalam satu kes, militan IS di Iraq hanya mengambil 2 bulan untuk memperoleh peluru berpandu anti kereta kebal dibeli AS dari sebuah negara Eropah dan dibekalkan kepada kumpulan pembangkang Syria.
Semua senjata itu dihasilkan di negara Eropah dan dalam kebanyakan kes, AS melanggar peruntukan dalam kontrak yang melarang pemindahan semula dengan memberikan senjata tersebut kepada kumpulan bersenjata di Syria.
“Bukti dikumpul CAR menunjukkan AS berulang kali melencongkan senjata buatan Eropah kepada kumpulan pembangkang dalam konflik Syria. Kumpulan IS dengan cepat memperoleh barangan ini dalam kuantiti banyak.”
CAR berkata, mereka juga mengesan banyak barang yang digunakan IS, dieksport dari Bulgaria ke Arab Saudi, dan ini juga tertakluk kepada syarat tidak boleh dipindah milik semula yang sepatutnya melarang ia dibekalkan kepada pihak berperang di Syria.
Kira-kira 90% senjata digunakan IS di Syria dan Iraq dibuat di China, Rusia dan negara Eropah Timur. CAR berkata, lebih 50% daripada jumlah itu dari Beijing dan Moscow.
“Penemuan ini menyokong tanggapan meluas kumpulan itu pada awalnya mendapat peralatan ketenteraannya daripada tentera kerajaan Iraq dan Syria.
“Senjata buatan Rusia yang digunakan IS di Syria melebihi jumlah senjata buatan China, mungkin membayangkan Rusia membekalkan senjata kepada rejim Syria,” kata CAR.
Rusia bersekutu dengan Assad dan melancarkan serangan udara di Syria pada September 2015, campur tangan terbesarnya di Timur Tengah setelah sekian lama, menjadikan konflik itu memihak kepada mereka.
Sabtu lalu, Iraq mengisytiharkan kemenangan terakhir menentang IS yang menawan lebih satu pertiga daripada kawasan di negara itu pada 2014. Minggu lepas, Rusia mengisytiharkan kemenangan menentang kumpulan itu di Syria.
CAR melaporkan IS membuat senjata sendiri pada skala agak besar tahun lalu, dengan kecanggihannya menyamai pasukan tentera kerajaan dan mereka menyeragamkan pengeluaran di kawasan dikuasainya.