Ulama perlu pentingkan alam sekitar, gesa aktivis

Participants of the forum, titled 'Tuhan Yang Hijau', pose for a picture.

PETALING JAYA: Ulama perlu beri lebih banyak penekanan terhadap perlindungan alam sekitar, menurut sebuah perbincangan merentas agama oleh sekumpulan aktivis.

Shah Redza Hussein yang bekerja dengan NGO alam sekitar berasaskan komuniti, berkata salah satu sebab ulama tidak mendekati subjek itu kerana mereka tidak mempunyai pengetahuan mengenainya, manakala mereka yang arif terlalu kecil bilangannya.

Beliau berkata penjagaan alam sekitar adalah sesuatu yang dituntut Islam, dan merupakan sebahagian daripada ibadah tidak formal di samping ibadah khusus lain.

“Ibadah tidak formal ini tidak ditekankan. Para ulama cenderung membataskan keimanan hanya melalui ibadah formal sahaja,” katanya pada forum “Tuhan Yang Hijau” dianjurkan Projek Dialog malam tadi.

“Tuhan tidak perlu akan ibadah kita. Dia Maha Berkuasa. Ia adalah bentuk pengesahan keimanan kita. Dia lebih melihat perkara yang anda lakukan untuk orang lain.

“Itulah matlamat sebagai umat Islam, bagaimana anda memperlakukan sesama manusia, sama ada orang Islam atau bukan Islam. Ia lebih kritis di mata Tuhan kerana umat islam lain lebih memerlukan anda,” katanya.

Shah Redza berkata beliau tidak perlu memetik ayat Al-Quran atau hadis mengenai bagaimana Tuhan meminta manusia melihat ciptaanNya bagi mengenali Dia.

Beliau kecewa bagaimana manusia sebaliknya merosakkan dan menghancurkan ciptaan Tuhan, yang dikatakan sebagai ciptaan terbaikNya, sambil menambah perbuatan tersebut adalah tanda tidak hormat.

“Sebagai umat Islam, tanggungjawab terhadap umat manusia adalah sama pentingnya dengan tanggungjawab kita kepada Tuhan. Menjadi hijau adalah salah satu tanggungjawab terbesar sebagai umat Islam.

“Umat Islam harus menjadi hijau kerana nabi berkata jika esok adalah hari kiamat, dan kamu memegang pokok, kamu perlu menanamnya.

“Apa maksudnya? Ia menandakan bagaimana anda menghormati bumi,” katanya.

Shah Redza berkata Nabi Muhammad juga secara simbolik berkata sesiapa yang membazir adalah amalan syaitan.

Walaupun masyarakat umum perlu memahami tanggungjawab mereka terhadap alam sekitar, beliau berkata, para ulama sendiri perlu membuka minda mereka.

Beliau berkata sikap ulama yang tidak berfikiran terbuka terhadap subjek tersebut dapat dilihat dalam tingkah laku mereka.

Memberi contoh pembaziran air semasa berwudhuk, beliau berkata: “Jika anda seorang ulama, dan anda membazir, di mana pegangan agama anda?

“Jangan bercakap tentang ibadah kepada Tuhan apabila anda tidak dapat melakukan perkara asas dengan betul.”