Bangunan tempatan gagal pancar kepelbagaian budaya, kata ahli akademi

Tajuddin-Rasdi-design-of-mosquesKAJANG: Seni bina dan perancangan bandar tidak boleh dijelmakan tanpa naratif baharu yang mengambil kira kepelbagaian budaya, kata seorang ahli akademi.

Tajuddin Rasdi dari Universiti USCI memberi contoh reka bentuk masjid di negara ini, yang bergerak dari reka bentuk yang dinamik, sejagat, terangkum, tropika dan merendah diri kepada reka bentuk yang dogmatik, Timur Tengah dan eksklusif.

“Membaca bahasa reka bentuk masjid di Malaysia, ia mencadangkan sebuah Malaysia dengan penduduk Melayu-Islam yang tidak selesa dengan bukan Islam.

“Sebab itu masjid ada pagar yang tinggi, pintu masuk tersergam, dan skala yang besar bagi menunjukkan betapa terkepung pemikiran Melayu terhadap bukan Melayu dan ekspresi seni bina ini juga merakamkan bagaimana orang Melayu jauh terkebelakang dalam memahami Islam dalam konteks kehidupan masyarakat moden kepelbagaian kaum,” katanya di wacana tentang seni bina dan bina negara di Universiti Prasarana Kuala Lumpur (IUKL).

Tajuddin, yang menerajui sekolah senia bina UCSI mengeluh ramai arkitek dan perancang di Malaysia tidak melihat isu kepelbagaian budaya dan idea demokrasi, “kerana mereka mengamalkan dan mengikuti bentuk lain, keperluan teknologi lain dan keperluan ekonomi lain.

“Ahli akademi dan profesional seni bina mesti mendakap perbincangan demokrasi dan kepelbagaian budaya untuk memperkenalkan penyelesaian bangunan, konsep perumahan dan perancangan bandar yang baharu.

“Jika kamu mengikuti idea kepelbagaian budaya, dan jika kamu mereka bentuk sebuah masjid, maka kamu perlu pertimbangkan kita hidup dalam masyarakat pelbagai budaya, pelbagai kepercayaan dan pelbagai agama,” katanya, dan mengeluh arkitek tidak berbuat demikian.

“Mereka hanya ikut suatu bentuk yang pernah dilakukan untuk tujuan tertentu di zaman yang berbeza untuk masyarakat tertentu.”

Beliau mempersoalkan kewajaran memindahkan reka bentuk sebegitu ke sini dalam konteks masyarakat yang berbeza.

Kampus universiti tidak utamakan pelajar

Mengenai kampus universiti pula, Tajuddin berkata reka bentuk kampus patut lebih memenuhi keperluan pelajar, kerana merekalah sebab universiti ditubuhkan.

Mengambil Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebagai contoh, beliau berkata pembinaan bangunan besar seperti canseleri memakan jumlah yang besar daripada bajet, “sedangkan ia cuma kemudahan untuk membantu ahli akademi memperoleh perkara tertentu untuk mengajar para pelajar”.

“Mereka cuma kakitangan sokongan. Jadi mengapa pula mereka jadi tumpuan? Ideanya ialah para pelajar patut diutamakan,” katanya.