Tony Fernandes kesal tiada bantahan secukupnya terhadap kenaikan caj

Tony Fernandes kesal tiada bantahan secukupnya terhadap kenaikan caj

Bos AirAsia berkata kenaikan caj perkhidmatan penumpang akan membebankan penumpang penerbangan kos rendah

Tony-Fernandes-PSC-hike2
PETALING JAYA: Tan Sri Tony Fernandes kesal tiada bantahan secukupnya daripada industri penerbangan membantah langkah menaikkan caj perkhidmatan penumpang (PSC) ke atas penumpang menaiki penerbangan antarabangsa ke destinasi bukan Asean dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).

Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) menyemak semula PSC dan mulai bulan depan penumpang yang menggunakan klia2 perlu membayar PSC sebanyak RM73, sepertimana di lapangan terbang lain, meningkat daripada RM50.

“Perjalanan udara bukan lagi untuk orang kaya sahaja, tetapi juga untuk orang kebanyakan.

“Jadi Mavcom dan Malaysia Airports (MAHB) perlu sedar ada 2 jenis penumpang. Penumpang kos rendah di mana setiap sen memberi kesan besar dan penumpang perkhidmatan penuh,” kata ketua pegawai eksekutif kumpulan AirAsia dalam wawancara The Star.

Beliau menegaskan kemudahan di lapangan terbang perlu setimpal dengan caj yang dikenakan.

“Kalau saya terbang dari klia2, dan saya bayar harga yang sama dengan KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur), saya rasa itu tidak adil. Penumpang saya perlu berjalan kaki ke pintu balai. Di KLIA, mereka naik tren. Itu perbezaan pertama,” katanya.

Beliau turut merujuk kepada saiz ruang istirahat balai berlepas dan banyak lagi.

Mavcom berkata kadar PSC baharu itu hanya dikenakan ke atas tiket yang dikeluarkan dari 1 Januari 2018. Tiket yang dikeluarkan sebelum tarikh itu tidak akan dikenakan kadar baharu meskipun tarikh perjalanan pada atau selepas 1 Januari 2018.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.